Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Tuai rumah di Niah digantung tak bertali

$
0
0

SEGERAKAN: Tuai Rumah Michael Balo (enam kiri) semasa mempengerusikan mesyuarat bulanan PTRN baru-baru ini. Turut kelihatan Selan (empat kanan).

Sejak sijil lantikan tamat 31 Ogos 2013, ahli PTRN tertanya-tanya status mereka

MIRI: Persatuan Tuai Rumah Niah (PTRN) menggesa pihak berkuasa terbabit agar menyerahkan sijil lantikan tuai rumah yang baharu dengan segera sebagai jawapan kepada teka-teki berhubung kedudukan mereka sekarang.

Jurucakapnya, Kaunselor Tuai Rumah Selan Undau dari Skim Sepupok berkata sejak sijil lantikan terdahulu tamat tempoh sah pada 31 Ogos 2013, semua ahli PTRN terus tertanya-tanya akan kedudukan mereka sama ada masih sah sebagai tuai rumah atau sebaliknya.

Ini kerana katanya sejak tarikh itu, semua tuai rumah di kawasan Niah yang bernaung di bawah PTRN masih belum menerima sebarang surat daripada pihak berkuasa berhubung kedudukan masing- masing.

“Sama ada diberhentikan atau dilantik semula, kami amat berharap kepada pihak berkuasa terbabit agar dapat menyegerakan proses penyerahan surat berhenti atau sijil lantikan semula sebagai hitam putih agar kami tidak terus diselubungi tanda tanya berhubung kedudukan kami sejak hampir tujuh bulan lalu.

“Pada masa sama, seandainya ada antara kami yang diberhentikan, pihak berwajib juga harus melangsaikan bayaran elaun tuai rumah yang tertunggak sejak tempoh sama sebelum lantikan baharu dibuat,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurut Selan, perkara itu merupakan antara isu yang dibangkitkan pada mesyuarat bulanan PTRN kali kedua tahun ini di Pejabat Daerah Sepupok, Niah di sini baru-baru ini dengan dipengerusikan oleh Pengerusinya Tuai Rumah Michael Balo.

Beliau turut menarik perhatian bahawa 30 peratus daripada 54 ahli yang berdaftar dengan PTRN belum mempunyai sijil lantikan walaupun ada di kalangan mereka ini telah dilantik sebagai tuai rumah oleh penduduk rumah panjang selama 20 tahun.

“Sijil lantikan amat penting kepada seseorang tuai rumah terutama dalam menguruskan beberapa perkara berhubung sesuatu projek atau masalah berkaitan rumah panjang dan penduduknya,” katanya yang merupakan bendahari persatuan.

Selain itu katanya, sekiranya seseorang tuai rumah itu diberhentikan, pihak berkuasa juga harus menyerahkan surat berhenti kepada tuai rumah terbabit yang turut disertai dengan alasan pemberhentiaan iaitu atas faktor usia, kesihatan dan sebagainya agar tidak menimbulkan sebarang rasa tidak puas hati kepada individu terlibat.

Pada mesyuarat sama menurut Selan, PTRN turut memohon kepada pihak berkuasa agar mempertimbangkan semula tempoh lantikan (perkhidmatan) seseorang tuai rumah sekarang yang hanya terhad kepada empat tahun.

“Kami memohon agar tempoh lantikan seseorang tuai rumah tidak dihadkan kepada empat tahun sebaliknya berterusan sebagaimana dahulu selagi ia mendapat sokongan dan kepercayaan daripada penduduk rumah panjang.

“Lagipun tuai rumah dipilih oleh penduduk rumah panjang.

“Manakala pelantikan seseorang tuai rumah tidak harus bersandarkan kepada faktor usia semata-mata kerana apa yang lebih penting, dia mesti merupakan seorang yang berpendidikan serta cergas dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” ujarnya.

Sementara itu menurut Selan, PTRN turut menyampaikan sumbangan masing- masing RM1,000 kepada mangsa kebakaran di Rumah Ngindang di Skim Sepupok dan Rumah Jelanie, Saeh Putih, Niah.

Sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Tuai Rumah Michael kepada kedua-dua tuai rumah terbabit yang mewakili penduduk rumah panjang masing-masing.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>