SIBU: Seorang lelaki menjadi mangsa ragut kehilangan wang tunai RM1,000 milik syarikat kepada sekumpulan lima orang lelaki yang menaiki kereta ketika mengayuh basikalnya pulang ke rumah malam Selasa lalu.
Dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu mangsa, 57, sedang mengayuh basikalnya melalui Lorong 7, Jalan Sena di sini apabila seorang daripada kumpulan itu keluar dari kereta lalu menendangnya dan juga basikalnya.
“Saya lalu terjatuh daripada basikal dan cuba mempertahan diri, tetapi gagal setelah lelaki itu berjaya merampas beg pinggang saya,” katanya.
Katanya, kumpulan lelaki itu tidak bersenjata tetapi memakai topeng.
Mangsa membuat laporan polis dua jam kemudian di Balai Polis Sungai Merah.
Pengadu mendakwa dia kehilangan kad pengenalan, sebuah telefon bimbit, kad ATM, kunci rumah, sekeping cek, buku bank miliknya dan ayahnya.
Dia memberitahu, bahawa kejadian yang sama menimpanya beberapa tahun lalu menyebabkan tangan kirinya cedera.
Pada masa itu, peragut bersenjatakan pisau.