KUCHING: Tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba merompak seorang wanita di Matang Jaya, di sini berjaya dipatahkan oleh orang awam yang bertindak pantas sebaik menyedari insiden berkenaan.
Menurut sumber, suspek, 22, juga berasal dari Matang, semasa kejadian bertindak berlari ke arah mangsa sambil membawa senjata dipercayai batang kayu sekitar jam 11 malam kelmarin.
Mangsa yang dikatakan bersama dengan seorang anaknya terus menjerit meminta pertolongan menyebabkan orang ramai yang berada berdekatan dengan tempat kejadian segera mendapatkan mangsa.
Suspek selepas itu dikatakan cuba melarikan diri namun tidak berjaya tambahan kawasan tersebut sudah dikepung oleh orang awam yang kemudian menahan suspek untuk diserahkan kepada pihak polis.
Suspek sehingga berita ini ditulis semalam masih dalam tahanan pihak polis dan siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.