Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Misnu: Bangun anak-anak yatim PERYATIM antara tugas utama MIS

$
0
0

SIBU: Membangunkan anak-anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (PERYATIM) sebagai modal insan yang berjaya adalah salah satu tugas utama Majlis Islam Sarawak (MIS).

Yang Dipertua MIS, Datu Misnu Taha berkata anak-anak yatim berkemungkinan akan menjadi pemimpin negara pada masa hadapan sekiranya dibentuk dengan baik di PERYATIM.

“Jangan lihat mereka sebagai anak yatim semata-mata tetapi lihatlah potensi yang ada pada mereka dan akan memberi sumbangan kepada negara.

“Bagi kita, merekalah bakal-bakal pemimpin yang menggantikan kita pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Kompleks PERYATIM Sibu di sini Khamis lalu.

Hadir sama pemangku Setiausaha MPS Morshidi Frederick, Pegawai Jabatan Agama Islam Sibu (JAIS), Shamsuddin Basir dan Pengurus PERYATIM Sibu, Siti Nurainnie Bolhassan.

Kunjungan tersebut merupakan pertama beliau ke PERYATIM Sibu sebagai Yang Dipertua MIS baharu menggantikan Datu Putit Matzen.

Sehubungan itu, MIS sentiasa tegas dalam mendisiplinkan anak-anak PERYATIM supaya mereka tidak lupa peranan dalam masyarakat.

“Di PERYATIM kita ada membuat kelas tuisyen pada sebelah malam, ini bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan gejala-gejala tidak sihat.

“Tidak ada cara lain lebih senang mengubah hidup kita selain menimba ilmu segigih-gigihnya,” ujar beliau.

Di samping itu, beliau yang juga merupakan Setiausaha Kehormat Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (LKAYS) memberitahu sebuah Tabung Pendidikan PERYATIM ditubuhkan di Kuching menerusi Alumni PERYATIM Kuching.

Katanya, tabung ini digunakan oleh anak-anak PERYATIM bagi menampung perbelanjaan mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

Beliau turut berterima kasih kepada pemberi sumbangan iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Pelita Mas Laut Sdn Bhd serta yang lain kerana banyak memberi bantuan kepada PERYATIM Sibu.

Sementara itu, majlis sederhana itu berlangsung meriah dengan pelbagai acara seperti persembahan silat oleh anak-anak PERYATIM, koir, nyanyian, nasyid dan lain-lain lagi.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>