Usaha mengekang wabak itu hanya dapat dilakukan melalui langkah pencegahan bersama
SIBU: Setiap masyarakat memainkan peranan dan perlu bekerjasama membanteras wabak denggi daripada terus menular.
Kaunselor Dr Ali Puji berkata, membanteras wabak denggi memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak.
Menurutnya, usaha mengekang wabak itu hanya dapat dilakukan melalui langkah pencegahan bersama.
“Masalah denggi tidak akan hilang dan apabila sampai waktunya akan menjadi wabak lebih besar sekiranya kita tidak bersama-sama memainkan peranan membanterasnya.
“Wabak ini tidak ada ubat untuk menghapuskannya, melainkan cara pengawalan dan penjagaan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen Membasmi Wabak Denggi anjuran Persatuan Komuniti Flat Blok R, Sibu Jaya semalam.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Anis Abdullah, Kaunselor Pasang, Kaunselor Unjah Best, Kaunselor Christopher Ugut dan Kaunselor Jimbau.
Menurutnya, masih terdapat segelintir masyarakat tidak memandang serius berhubung isu denggi.
Ini kerana, terdapat rumah kosong dibiarkan dalam tempoh lama turut menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Kita perlu memainkan peranan terutama dalam soal menjaga kebersihan di kawasan rumah masing-masing dan memastikan tiada bekas yang dapat dijadikan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.