Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Hope Place selami kepayahan hidup Lumit Emit

$
0
0

SELAMI HIDUP: Wan (dua kanan) bersama Lumit (tengah), kakaknya dan sukarelawan Hope Place Howard (kiri) dan Peter (kanan) bersedia membawa air sebanyak lima liter kembali ke rumah.

Terpaksa habiskan sebahagian besar hidupnya sebagai orang buta sejak berusia enam tahun

KUCHING: Lumit Emit dari Lubok Antu menghabiskan sebahagian besar 58 tahun hidupnya sebagai orang buta selepas kehilangan penglihatan seawal usia enam tahun apabila mengalami demam panas.

Antara rutin hariannya adalah diiringi kakaknya ke sungai di mana kedua-dua wanita itu akan mengambil air bagi kegunaan isi rumah.

Tugas itu bukan mudah, menurut sukarelawan Hope Place apabila mereka datang melawat.

Bagi menyelami hidup Lumit, Kelvin Wan dan para sukarelawan Hope Place mengiringi wanita itu ke sungai untuk membantu mengambil air dengan bekas plastik.

“Satu-satu perjalanan itu mengambil masa 15 minit dan kita perlu mengharungi hutan dan jalan berbatu kerikil serta menghadapi gigitan nyamuk yang tidak terkira banyaknya,” katanya sambil menambah mereka terpaksa membawa balik lima liter air ke rumah.

“Ia bukan satu tugas yang mudah. Sekembalinya ke rumah, kedua-dua tangan saya berasa amat sakit,” katanya sambil berkata pengalaman itu sekali gus menyerlahkan betapa bernasib baiknya orang ramai yang dapat menikmati air secara terus dari paip.

“Ini mengajar saya untuk menggunakan air sebaik mungkin. Kita tinggal di bandar raya dan bekalan air mudah didapati.

“Hari ini, kita bersama dua wanita yang terpaksa mengharungi perjalanan begitu sukar dua kali sehari semata-mata untuk mendapatkan bekalan air,” ujarnya.

Lumit sebelum ini hanya menerima RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, sekarang turut menerima bantuan daripada Hope Place dalam bentuk barang makanan asas.

Meskipun tanpa bekalan air dan elektrik, kehidupan Lumit amat ringkas namun dia tidak pernah mengeluh.

“Bayangkan diri anda buta dan terpaksa berhadapan dengan kesusahan lebih daripada 50 tahun. Tetapi Lumit masih bersikap positif dan tidak menyerah kalah,” kata Wan.

Memandangkan ramai keluarga dalam senarai penerima Hope Place, badan sukarelawan itu menghantar bantuan sekali dalam dua bulan.

Sekali sekala mereka akan menerima permohonan bantuan daripada penduduk luar Kuching.

Sementara penghantaran dalam jumlah kecil senang diuruskan, Wan memberitahu bahawa penghantaran dalam jumlah banyak melibatkan penghantaran sekali gus kepada kumpulan lebih besar menelan kos yang banyak.

“Ia membabitkan kos sebanyak RM1,200 untuk menyewa lori bagi menghantar barang ke lokasi spesifik.

“Saya berharap dapat mencari lebih ramai penaja bagi menampung kos tersebut,” katanya.

Hope Place kini membantu sekitar 80 keluarga. Enam penerima meninggal dunia namun beberapa keluarga baharu masuk ke dalam senarai tersebut.

Untuk keterangan lanjut mengenai cara membantu, Hope Place boleh dihubungi di talian 013-5672775 dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 petang (Isnin hingga Jumaat).


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>