KUCHING: Segelintir penunggang motosikal di Jalan Sultan Tengah di sini sanggup mengambil risiko meredah arus trafik dan menaiki pembahagi jalan sebagai jalan pintas untuk memudahkan mereka ke laluan bertentangan.
Meskipun terdapat bulatan disediakan di susur keluar simpang Bandar Baru Samariang (BBS) untuk tujuan membuat pusingan U, mereka masih tidak mahu menggunakannya yang disifatkan jauh.
Salah seorang penduduk BBS yang hanya mahu dikenali sebagai Najwan, 40, berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir penunggang motosikal tidak hanya mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri, malah pengguna jalan raya lain.
“Pengguna motosikal haruslah memikirkan tentang pengguna lain juga dan tidak hanya mementingkan diri sendiri.
“Justeru, sikap yang tidak bertanggungjawab seperti melintas jalan sebagai jalan pintas tanpa mengikut undang-undang turut sama mengundang bahaya kepada pengguna lain seperti pengguna kereta, lori, bas dan sebagainya,” katanya ketika ditemui.
Najwan memberitahu, laluan serta bulatan yang telah disediakan untuk membuat pusingan U mungkin agak jauh bagi segelintir pengguna motosikal tetapi mereka hendaklah mematuhinya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Mohd Dzulkarnaen Rezeni, 26, berkata, sikap pengguna motosikal yang dimaksudkan bukan perkara asing bagi penduduk di kawasan sekitar meskipun pernah terjadi kemalangan sehingga mendatangkan maut akibat kecuaian.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali berlaku kemalangan di situ namun mereka (penunggang motosikal) masih tidak serik serta melanggar undang-undang.
“Pihak berkuasa tempatan harus mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini serta mengingatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya.
Pada masa sama, dia menyarankan lampu isyarat atau jejantas untuk pengguna motosikal dibina sebagai satu langkah demi keselamatan bersama.
Sazali Jhony, 31, pula memberitahu, dia terpaksa memperlahankan kenderaan setiap kali melalui simpang keluar dari BBS untuk ke tempat kerja kerana khuatir terdapat pengguna motosikal melintas jalan untuk ke laluan bertentangan.
“Setiap kali melalui simpang keluar BBS itu, saya akan memperlahankan kenderaan kerana bimbang ada pengguna yang keluar secara tiba-tiba untuk melintas ke laluan bertentangan.
“Justeru, tindakan harus diambil kepada mereka yang masih gagal untuk mematuhi undang-undang jalan kerana tindakan tersebut turut mengundang bahaya kepada orang lain,” katanya.
Sazali menambah, jalan keluar dari Taman Puteri dan Bangunan Yayasan Sarawak juga harus dibina memandangkan pengguna kini melalui laluan sementara kerana pembinaan bulatan yang belum siap sepenuhnya.