Musim tengkujuh, angin kencang, hujan lebat datang bersama tempias Taufan Melor ke perairan S’wak
// Oleh Clare Cinderella //
MIRI: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri mengeluarkan amaran kepada ahli-ahlinya terutama nelayan bot kecil supaya mengelak turun ke laut ketika ini berikutan cuaca musim tengkujuh yang berbahaya kepada mereka.
Pengerusinya Kaunselor Jamali Basri berkata selain musim tengkujuh, angin kencang bertiup dan hujan lebat tidak dijangka datang bersama-sama tempias Taufan Melor kini sedang bergerak mengarah ke perairan negeri ini.
“Ia bukan sesuatu yang baik dan nelayan-nelayan di negeri ini terutama di perairan Miri perlu memberi perhatian terhadap cuaca sekeliling dan peka dengan perubahan mendadak termasuk keadaan awan di langit.
“Bagi menjamin keselamatan dan kebaikan bersama, PNK Miri meminta ahli-ahli dan nelayan di perairan ini supaya tidak turun ke laut memandangkan ketika ini musim tengkujuh dengan cuaca tidak menentu,” katanya di sini, semalam.
Jamali berkata, bagi mereka yang terpaksa juga turun ke laut demi mencari rezeki dinasihati agar tidak turun bersendirian sebaliknya berkumpulan bagi membolehkan mereka membantu satu sama lain jika berlaku perkara tidak diingini.
“Malah, jika nelayan keluar secara berkumpulan mudah bagi mereka mendapat bantuan jika keadaan kecemasan berlaku berbanding bersendirian,” jelasnya sambil mengingatkan mereka memastikan segala keperluan keselamatan dan bantuan tersedia dengan baik termasuk sistem radio, Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) dan telefon bimbit sebelum ke laut.
Jamali juga mahu ahli persatuan dan nelayan sentiasa peka dan mengambil sikap waspada dengan keadaan laut sama ada berlaku ke atas mereka atau rakan-rakan nelayan lain atau sesiapa yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, dalam kejadian terkini sebuah bot nelayan karam di perairan dekat Lutong akibat angin kencang dan laut bergelora namun nelayan terbabit bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke arah sebuah pelantar minyak berhampiran untuk mendapatkan bantuan.
“Selain itu, belum ada sebarang kes berkaitan kehilangan nelayan di laut dilaporkan berlaku berikutan cuaca buruk dan kita berharap agar rekod ini terus terjaga sehingga berakhirnya musim tengkujuh ini,” tambahnya.
Beliau berkata angin kencang bertiup pada kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam amat berbahaya kepada bot-bot nelayan terutama bot kecil dan keadaan tersebut dijangka berlarutan sehingga akhir tahun ini.
Menurut Jamali, dengan keadaan cuaca buruk ketika ini sekali gus menjadikan sekarang musim berisiko maka beliau mencadangkan agar nelayan membuat ‘kerja rumah’ seperti memperbaiki bot dan pukat mereka.
Sehingga kini, lebih 1,000 nelayan berdaftar dengan PKN Miri sebagai ahli.
Dalam perkembangan berkaitan, persatuan itu turut berterima kasih kepada syarikat minyak negara, Petronas kerana menghulurkan bantuan 150 beg sekolah kepada anak-anak nelayan perkampungan nelayan Kuala Baram, Batu Satu, Lutong, Piasau Utara, Wireless, Pulau Melayu dan Kampung Luak dalam kawasan Parlimen Miri.
“Kita berharap pada masa akan datang mungkin Petronas boleh menghulurkan bantuan sama kepada anak-anak nelayan di kampung-kampung nelayan di kawasan Parlimen Sibuti memandangkan terdapat ramai ahli dari Sibuti,” katanya.
Dalam pada itu, PNK Miri turut meminta badan-badan korporat membantu meringankan beban nelayan khususnya pada hujung tahun kerana mereka sukar turun ke laut mencari rezeki sedangkan anak-anak perlu turun ke sekolah dengan pelbagai keperluan pada awal tahun.