KUCHING: Kediaman ibu bapa Ahli Parlimen Stampin Julian Tan di Taman Seng Goon, Lorong 3B1, di sini menjadi sasaran pencuri, semalam.
Beliau serta isteri yang turut tinggal di kediaman sama memberitahu, insiden itu disedari oleh ibunya sekitar jam 7.30 pagi apabila mendapati beberapa barang di bahagian dapur telah hilang.
Katanya, kira-kira jam 3 pagi semasa membuat kerja di bilik tingkat atas rumah berkembar dua itu, beliau terdengar bunyi bising di bahagian bawah.
Beliau bagaimanapun tidak menghiraukannya kerana menyangka kucing atau anjing jiran masuk ke dalam pekarangan rumah mereka.
“Tadi jiran seberang rumah saya memberitahu kira-kira jam 5.30 pagi dia melihat orang tidak dikenali keluar dari rumah saya menggunakan sebuah motosikal dan beberapa barang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di One Stop Centre, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Jalan Simpang Tiga, di sini.
Antara barang yang dilaporkan hilang adalah tong gas, mesin pemotong rumput, set jana kuasa, sejumlah duit di dalam kereta dan bahan kitar semula.
Difahamkan, pencuri turut melarikan tong gas milik jiran sebelah rumahnya.
Beliau yang berusia 35 tahun turut percaya, kes kecurian itu melibatkan lebih daripada seorang pencuri.
Menurutnya lagi, beberapa rumah di lorong yang sama turut menjadi mangsa pencuri kebelakangan ini.
“Tidak pernah terlintas di fikiran pencuri akan memasuki rumah usang ini,” katanya.
Tidak ada kesan paksaan masuk ditemui memandangkan pagar rumah dan kereta dibiarkan dalam keadaan tidak berkunci.