KUCHING: Kelab Kebajikan dan Sosial Tun Teja Malaysia (KKDSTTM) kini membuka cawangan baharu di Sarawak di Bangunan Al-Idrus, Jalan Satok di sini.
Yang Dipertuanya Datin Norhashima Darus berkata, penubuhan cawangan baharu itu dijangka akan dapat menjalankan kursus, seminar dan bengkel kepada ahlinya di negeri ini.
“Saya sangat berbangga dengan sambutan baik orang Sarawak terhadap kelab ini dan pastinya akan memberi impak positif kepada ahli di sini nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Permaisuri Tun Teja Bahagian Sarawak di sini semalam.
Pada majlis itu, Norhashima turut dipersembahkan pelbagai tarian tradisional masyarakat Sarawak.
Hadir sama Penaung KKDSTTM Malaysia Datuk Baharuddin Mohd Yusoff dan ahli KKDSTTM Sarawak.
KKDSTTM merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai ahli Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan, Negeri, Daerah dan Mukim.
Kelab itu ditubuhkan pada 19 Mac 2011 yang menyokong penuh usaha Jabatan Warisan Negara dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.
Maklumat lanjut mengenai KKDSTTM boleh didapati di laman sesawang www.ydp2u.com.