Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Kerajaan belanja RM3.2 juta kepada industri inap desa Kampung Mongkos

$
0
0

SERIAN: Kerajaan persekutuan khususnya menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan setakat ini telah membelanjakan sebanyak RM3.2 juta kepada industri inap desa di Kampung Mongkos bagi menjadikannya sebagai antara destinasi pelancongan tumpuan di Sarawak.

Justeru, ADUN Kedup Martin Ben berkata kampung berkenaan kini telah dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur selain banyak kerja naik taraf turut dilakukan terhadap inap desa di rumah panjangnya sejak ditubuhkan pada 2004.

“Dengan semua kemudahan dan keperluan yang ada, saya berharap ia akan memberi manfaat kepada penduduk untuk menjana pendapatan menerusi sektor pelancongan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 1Malaysia Voluntourism anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Kampung Mongkos, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Suriya Charles Buas, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Negeri Sahaimi Abdul Manaf, Pengarah Arkib Negara Cawangan Sarawak Norsuriaty Awang Hassim, Ketua Kampung Mongkos Daka Baba dan Penyelaras Inap Desa Kampung Mongkos Tan @ Taran.

Dalam pada itu, Martin turut menyarankan pengusaha inap desa serta penduduk di kampung berkenaan agar memainkan peranan menarik lebih ramai pelancong baik dari dalam mahupun luar negara.

“Banyak yang dapat kita tonjolkan kepada masyarakat dunia iaitu bukan sahaja dari segi budaya dan adat resam tetapi juga menerusi sumber semula jadi yang ada misalnya air terjun, hutan dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut menaik taraf sumber semula jadi yang terdapat di kampung-kampung lain yang terletak berhampiran kampung Mongkos iaitu Kampung Mujat dan Kampung Bunan.

Jelasnya, kedua-dua kampung berkenaan mempunyai sumber semula jadi yang unik dan menarik sekali gus berpotensi menjadi tarikan pelancong.

“Saya berharap sumber semula jadi seperti air terjun di Kampung Mujat misalnya dinaik taraf dan laluan penghubungnya ditingkatkan agar ia dapat menjadi tambahan kepada produk pelancongan penduduk di sini,” katanya.

Pada masa sekarang, seramai 16 penduduk Kampung Mongkos telah mengusahakan inap desa menggunakan rumah panjang tradisional mereka.

Bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2013, industri inap desa yang diuruskan oleh Koperasi Kampung Mongkos Serian Berhad itu telah menarik seramai 422 pelancong iaitu 300 pelancong domestik dan 122 pelancong asing dengan mencatat pendapatan sebanyak RM25,000.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>