Ketua Menteri ucap terima kasih atas kepimpinan kerajaan terdahulu yang berjaya bangunkan negeri
Oleh Hamimi Kassim //
ASAJAYA: ‘Oh ha… Oh ha… Oh ha…’ maksudnya sama erti, sama tujuan dan sama jalan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semasa berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bahagian Samarahan 2015 di Kompleks Sukan Asajaya semalam.
Adenan terkenal dalam kalangan rakyat dengan ungkapan ‘You… You’ mengucapkan terima kasih atas kepimpinan kerajaan yang memajukan Sarawak sebelum ini termasuk Samarahan.
“Saya telah kenal Samarahan sejak tahun 70-an dan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang memulakan kawasan ini… kemudian baharulah saya,” katanya perubahan ketara dan pesat dirasai oleh masyarakat di situ.
Tambahnya, sebagai Ketua Menteri pelbagai langkah telah dilaksanakannya dalam mentadbir dalam tempoh setahun lebih di negeri ini.
“Nombor satu rakyat meminta kadar elektrik diturunkan, saya turunkan. Kedua, rakyat meminta tol dimansuhkan, saya mansuhkan kecuali Tol Jambatan Tun Salahuddun.
“Nombor tiga kadar feri diturunkan, semua kadar feri di seluruh Sarawak saya turunkan RM1,” jelasnya.
Menurut Adenan lagi, beliau meminta tempoh lima tahun untuk terus memaju dan mentadbir di negeri ini termasuklah isu royalti minyak dan gas kerana ia akan terus diperjuangkan beliau sehingga kini melalui rundingan berterusan.
“Kita telah berunding dengan Petronas dan kita telah berjaya apabila kerajaan persekutuan bersetuju memberikan kontrak minyak dan gas khusus untuk syarikat Sarawak.
“Mereka bersetuju memberi beratus juta untuk mendirikan sekolah teknikal dan kemudahan lain bagi kita.
“Petronas memberi kontrak minyak dan gas untuk syarikat di Sarawak. Mereka setuju,” jelasnya menyentuh mengenai hasil minyak dan gas bertambah untuk negeri Sarawak, royalti dinaikkan.
Adenan berjanji tidak akan berhenti memperjuang perkara untuk negeri ini sambil menambah, pelbagai perkara dapat dilaksana dalam masa terdekat.
“Kita juga mengambil langkah supaya mengambil lebih kuasa kerajaan pusat supaya kuasa autonomi kita juga bertambah. Rundingan bersama-sama mendapatkan kuasa Sarawak dalam Malaysia, ia masih dalam rundingan.
“Bermacam-macam telah berjaya kita laksanakan dalam masa yang singkat. Itulah sebabnya saya minta lima tahun lagi kerana setahun lebih tidak cukup,” ingatnya.
Projek terbesar sekali untuk Sarawak jelasnya ialah Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,000 kilometer dari Lundu hingga ke Lawas.
“Projek ini sama seperti lebuh raya di Semenanjung, ini akan membukakan dan mengembangkan ekonomi kita,” katanya menambah apa yang terdapat di Semenanjung akan diperolehi di Sarawak.
“Langkah kita selanjutnya ialah mengurangkan jurang bandar dengan luar bandar di seluruh negeri ini,” katanya.
Itulah sebabnya jelasnya, beliau turut meminta peruntukan RM500 juta bagi pembangunan menambah kemudahan luar bandar termasuk membina beberapa jambatan utama di negeri ini antaranya Jambatan Bako, Jambatan Sibuti, Jambatan Long Lama dan Jambatan Limbang.
Menyentuh mengenai permintaan rakyat Samarahan, Adenan menjelaskan beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta sebagai penghargaan kepada rakyat di situ.
“Asalkan rakyat tahu maksudnya. Kerana Samarahan dari dahulu lagi saya tahu tetap akan menyokong BN dan PBB… telah membantu menyelamatkan Sarawak agar tidak jatuh ke tangan pembangkang,” tegasnya.
Majlis tersebut turut dihadiri isterinya Datin Patinggi DatukJamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Dua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Hadir sama Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) merangkap ADUN Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan kenamaan lain serta kira-kira 2,000 masyarakat setempat.