Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Majikan, pekerja dinasihat pertingkat budaya selamat, sihat di tempat kerja

$
0
0

SIBU: Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak berharap agar setiap majikan dan pekerja mengutama budaya kerja selamat dan sihat dalam usaha mengurangkan statistik kemalangan di tempat kerja.

Pengarah JKKP Sarawak, Ir Mohd Hatta Zakaria berkata, statistik kemalangan dilaporkan kepada JKKP Sarawak bagi enam bulan pertama tahun ini menunjukkan 190 kes kemalangan tidak hilang upaya kekal (THUK), 18 kes kemalangan hilang upaya kekal (HUK) dan 14 kes maut telah berlaku.

“Sehubungan itu, saya amat berharap agar setiap majikan dan pekerja mengutamakan amalan budaya kerja yang selamat dan sihat semasa bekerja,” katanya kepada pemberita selepas Seminar/Dialog Sempena Minggu Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Di Sektor Perkapalan 2015 di sebuah hotel di sini, semalam.

Seminar ini yang dianjurkan oleh JKKP Sarawak bertujuan untuk menjadi platform bagi membincangkan isu KKP antara pihak pengurusan tertinggi syarikat perkapalan.

Selain itu, ia juga bagi menggalakkan pihak industri perkapalan dan baik pulih kapal menambah baik dan memperkukuhkan lagi sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang telah sedia ada di tempat kerja masing-masing.

Menurut Mohd Hatta, budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja juga amat penting bagi memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur dari luar untuk terus melabur di negara ini.

“Jabatan amat percaya dengan kombinasi antara majikan prihatin, pekerja berkualiti dan produktiviti, sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif serta keadaan persekitaran kerja kondusif, maka pastinya produk dan perkhidmatan dihasil mencapai tahap dan standard yang dikehendaki,” katanya.

Beliau memberitahu, Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2015 yang julung kalinya diadakan bagi sektor perkapalan, diharap agar semua majikan, warga pekerja sama ada yang berkhidmat dalam kerajaan ataupun swasta, menitikberatkan akan kepentingan isu keselamatan dan kesihatan semasa menjalankan pekerjaan.

JKKP katanya, sentiasa memberi galakan dalam meningkatan aspek keselamatan dan kesihatan semasa bekerja, selari dengan tema Hari Kesihatan dan Keselamatan di Tempat Kerja Sedunia pada tahun ini iaitu Bersama Membudayakan Pencegahan Dalam Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan.

“Ini dapat dicapai melalui gandingan dan kerjasama tripartite daripada pihak kerajaan, majikan dan pekerja. Persekitaran yang selamat dan sihat akan mewujudkan rakyat Malaysia yang bekerja dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

“Dengan itu, ekonomi negara akan dijana dengan lebih pantas seiring dengan hasrat kerajaan bagi mencapai rakyat yang berpendapatan tinggi,” ujar Mohd Hatta.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah JKKP Sarawak, Arahman Jamel dan Penolong Pengarah JKKP Sarawak, Voon See Liong.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>