KUCHING: Keputusan kerajaan untuk menarik balik subsidi diesel nelayan laut dalam tidak akan menjejaskan aktiviti nelayan di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA) Bohari Ganti berkata, ini kerana hampir 80 peratus daripada kira-kira 16,000 nelayan yang mendaftar dengan persatuan itu merupakan nelayan pantai dan menggunakan petrol sebagai bahan api utama.
Menurut beliau, yang menjadi masalah ketika ini ialah nelayan pertengahan (nelayan Kelas B) kerana golongan berkenaan menggunakan diesel sedangkan pendapatan mereka tidak menentu.
“Kita percaya jika kerajaan mengambil keputusan mengurangkan subsidi diesel untuk nelayan laut dalam Kelas C1 dan C2, ia tidak akan menjejaskan aktiviti nelayan di Sarawak kerana jumlah nelayan yang terlibat dalam penangkapan ikan di laut dalam tidak ramai dan kebanyakannya milik orang luar disewa kepada nelayan tempatan.
“Pada masa sama, kita amat berharap kerajaan akan mengekalkan pemberian subdisi diesel kepada nelayan pertengahan yang menggunakan kapal pukat tunda seperti di Beladin dan Pusa kerana kebanyakan banyak menggunakan diesel sedangkan pendapatan mereka tidak membantu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bohari menambah, nelayan pantai di negeri ini memerlukan perhatian kerajaan kerana mereka masih ramai yang hidup daif meskipun ketika ini mendapat pelbagai bentuk bantuan disediakan, antaranya bantuan sara hidup RM200 sebulan dan bayaran RM0.10 bagi setiap satu kilogram hasil tangkapan mereka oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya pernah dimaklumkan pemberian subsidi diesel kepada nelayan Kelas B dan pantai akan dikurangkan pada masa akan datang.
“Pengurangan subsidi diesel pada masa akan datang memang kita sudah bersedia menghadapinya kerana menyedari pemberian subsidi tidak boleh dikekalkan buat selamanya dan sudah tentu ini ia memerlukan sedikit pengorbanan pada mulanya.
“Apapun yang dilakukan pada mulanya akan berasa sedikit kepayahan tetapi saya percaya keadaan akan kembali normal selepas beberapa ketika,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kementeriannya akan mengkaji semula pemberian diesel bersubsidi kepada nelayan laut dalam susulan banyak kes penyelewengan bantuan berlaku membabitkan mereka.
Ismail menambah, langkah itu juga seiring dengan objektif subsidi iaitu hanya untuk meringankan beban nelayan yang berpendapatan rendah.
“Kita lihat kebanyakan bot nelayan laut dalam yang ambil bantuan ini walaupun pemiliknya orang tempatan, kapten dan anak kapalnya orang asing, tidak jual pun ikan di pantai tetapi jual ke negara asing,” jelas Ismail.