KM baharu diharap terus jadikan Sarawak contoh negeri lain di Malays
KUCHING: Ketua Menteri baharu nanti diharap bukan sahaja dapat meneruskan kesinambungan kemajuan dan pembangunan Sarawak dengan baik, tetapi turut mengukuhkan perpaduan rakyat dari berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Dengan itu, menurut Menteri Muda Perhubungan dan Sukan Datuk Lee Kim Shin, Sarawak akan dapat terus dikenali sekali gus menjadi contoh bagi negeri-negeri lain di Malaysia.
“Saya berharap Ketua Menteri baharu nanti akan dapat melakukan kerja dengan baik terutamanya dari segi menjadikan Sarawak sebagai negeri model yang membawa kemajuan dan perpaduan.
“Saya percaya, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan membuat pilihan yang betul dan kami akan memberikan kerjasama penuh kepada Ketua Menteri baharu kerana kami juga mahu melihat Sarawak terus membangun dan mempunyai masyarakat yang harmoni,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui sempena Majlis Tahun Baharu Cina anjuran Pertubuhan Insurans Sarawak di Pusat Warga Emas Hun Ham Siang Tng Sarawak, Jalan Sekama di sini semalam.
Taib yang telah berkhidmat selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri bakal bersara pada hujung bulan ini.
Tiga nama yang dikaitkan untuk menggantikan beliau ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ketua Penerangan PBB Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
Justeru, Lee berkata, beliau amat menghargai usaha Taib atas perkhidmatan dan sumbangannya terhadap kemajuan dan pembangunan Sarawak, khasnya dan Malaysia, amnya.
“Beliau (Taib) telah berkhidmat sejak sebelum penubuhan Malaysia sehingga hari ini dan sememangnya beliau merupakan seorang pemimpin yang banyak menyumbang kepada kemajuan serta pembangunan Sarawak,” katanya.
Selain itu, Lee berkata, Taib juga telah berjaya menyatupadukan rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya dengan begitu baik.
“Kita di Sarawak selama ini tidak pernah menghadapi apa-apa masalah dari segi perkauman dan agama. Ini adalah satu pencapaian Taib yang paling berharga,” katanya.
ia