Tempoh DUN Sarawak masih panjang dan hanya akan tamat pada 20 Jun 2016: Zahid
KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat ini meskipun Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meletakkan jawatan bulan ini.
Ini kerana menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tempoh bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih panjang dan hanya akan tamat pada 20 Jun 2016.
“Saya tidak rasa pilihan raya negeri akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini tetapi kami di peringkat kementerian akan sentiasa berjaga-jaga terutama dari segi keselamatan.
“Pilihan raya ada atau tidak soal keselamatan akan tetap menjadi keutamaan kami dan sentiasa memastikan di tahap yang siap sedia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-42 RELA Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Menyentuh mengenai persaraan Taib, Zahid berkata UMNO sebagai salah satu daripada parti Barisan Nasional (BN) berpendirian bahawa keputusan tersebut harus dihormati.
Katanya, sebarang keputusan yang dicapai menerusi rundingan dalam parti ia harus dihormati kerana apa yang dicapai adalah demi kepentingan kerajaan negeri Sarawak sendiri.
“Keputusan yang dibuat oleh Pehin Sri Taib untuk bersara menunjukkan kematangan politik di Sarawak dan peralihan kuasa yang berlaku juga adalah mengikut acuan politik negeri ini sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai kunjungan semalam, Zahid berkata lawatan kerjanya telah diatur lebih awal sebelum Taib mengumumkan persaraan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB Sabtu lepas.
Antara yang dibincangkan ialah mengenai maklumat keselamatan untuk seluruh Sarawak dan kadar pembanterasan jenayah di Sarawak sebelum menghadiri sambutan Ulang Tahun Ke-42 RELA di BCCK.
Bagaimanapun, ketika taklimat bersama Pehin Sri Taib di Wisma Bapa Malaysia, difahamkan Taib ada memaklumkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertua Negeri pada 15 Februari.
Bagaimanapun, tiada perbincangan terperinci mengenai kemungkinan pilihan raya negeri akan dilakukan lebih awal melainkan soal keselamatan negeri secara keseluruhannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid berkata kadar jenayah di Sarawak telah menurun kepada lebih daripada sasaran peringkat nasional hasil kerja keras anggota polis dan masyarakat.
Jenayah indeks dan jenayah terancang didapati menurun namun, jenayah melibatkan kecurian kenderaan didapati meningkat kepada 130 peratus disebabkan kawasan sempadan yang bolos.
“Perkara ini perlu dibawa kepada perhatian Perdana Menteri kerana jalan tikus yang terdapat di Sarawak telah menjadi jalan gajah maksudnya banyak penyeludupan tidak hanya melibatkan kecurian kenderaan tetapi juga barangan subsidi dan penyeludupan masuk tenaga kerja asing,” ujarnya.