SARIKEI: Sikap dan teladan yang dipamerkan oleh setiap anggota Askar Wataniah yang sedia bertugas pada bila-bila masa apabila diperlukan wajar dijadikan contoh kepada generasi hari ini.
Penolong Pegawai Memerintah Batalion 2 Leftenan Kolonel Wan Abdul Rahman berkata, usaha anggota Wataniah yang sanggup menyumbang tenaga dan bakti apabila diperlukan tanpa mengira masa dan tempat adalah satu teladan yang amat baik untuk dijadikan contoh dalam kita menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kesetiaan mereka terhadap pakaian seragam dan lafaz janji sebagai seorang anggota Wataniah tanpa mengira imbalan yang diberikan kerana bagi mereka, tugas yang diamanahkan itu adalah satu perkara yang amat murni.
“Tanggungjawab anggota Wataniah ini tidak kurang pentingnya seperti anggota berpakaian seragam yang lain, di mana mereka kebanyakannya telah menghulurkan bantuan dan sokongan kepada semua pihak sama ada masyarakat atau pasukan keselamatan amnya,” kata Wan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Majlis Kesyukuran sempena kenaikan pangkat beberapa anggota Wataniah, semalam.
Sehubungan itu Wan berharap pada masa akan datang lebih banyak ahli masyarakat khasnya belia mendaftar menjadi anggota Wataniah.
Sementara itu, Ketua E Kompeni Rejimen 511 Kapten Ahmad Selihin dalam ucapan alu-aluannya pula berkata, masyarakat dewasa ini harus sedar bahawa menyertai Askar Wataniah mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan.
“Menyertai pasukan ini adalah satu perkara yang baik kerana ia mampu mendedahkan anggotanya tentang disiplin diri, disiplin terhadap pasukan, belajar mematuhi arahan dan banyak lagi pendedahan lain.
“Pada masa sama, selaku anggota Wataniah kita secara tidak langsung mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat, bangsa dan negara kita, khususnya daripada aspek membantu menjaga keselamatan terutama di peringkat setempat.
“Ini dapat memastikan keselamatan dan ketenteraman setempat dipelihara,” jelas Selihin.