Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Pemilik lot tutup jalan disebabkan kegagalan JTS selesai status tanah

$
0
0

SIBU: Dua pemilik lot tanah di Kampung Usahajaya Baru, Sentosa, Salim di sini terpaksa bertindak menutup jalan di hadapan rumah mereka untuk laluan orang ramai disebabkan kegagalan pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menyelesaikan status tanah mereka.

Jalan yang ditutup itu adalah Jalan Sentosa Timur yang terletak di hadapan rumah Lot 394 dan Lot 395 yang masing-masingnya pemilik tanah terbabit.

Pemilik tanah terbabit, Mohidin Junai @ Mohiden Junaidi dan Mohini Anyut terpaksa berbuat demikian setelah tanah mereka yang seluas lebih 20 meter diceroboh oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Lembaga Air Sibu dan SESCO Sibu untuk membina jalan raya, tiang lampu jalan dan paip air.

Menurut peguam yang mewakili dua pemilik tanah terbabit Abdul Rafidin Majidi, berkenaan bukanlah tanah kerajaan malah ia adalah milik individu.

“Walaupun dahulu tanah ini diberikan kerajaan tetapi pemiliknya ada membuat bayaran premium tanah di JTS sejak sekian lama.

“Masalah ini berlaku sejak 15 tahun lalu tanpa ada jawapan daripada JTS untuk mengesahkan tanah ini.

“Saya ada menulis surat kepada JTS untuk menyelesaikan masalah ini tetapi sehingga sekarang belum ada jawapan daripada mereka. Ini akan menyukarkan mereka menuntut pampasan.

“Pemiliknya hilang sabar dan memaksa mereka bertindak menutup jalan ini berkuat kuasa hari ini (semalam),” katanya kepada pemberita, semalam.

Rafidin menjelaskan bahawa firma guamannya ada menulis kepada MPS pada Mac tahun lepas berhubung masalah terbabit namun tiada jawapan.

“Selepas itu, saya menulis surat kepada JTS pada Julai tahun lepas dan mereka ada memberi maklum balas.

“Pihak JTS bersama juruteranya dari Kuching ada datang ke tempat ini untuk melakukan tinjauan pada bulan yang sama.

“Namun selepas itu, tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh JTS sehingga sekarang berhubung isu ini.

“Melihat tiada sebarang tindakan, kami pergi berjumpa pegawai penguasa JTS Sibu dan pegawai itu memberitahu kami bahawa dia tidak tahu apa-apa mengenai masalah terbabit.

“Mustahil beliau tidak tahu sedangkan pihak ibu pejabat ada pergi ke sini pada Julai lepas, takkan mereka tidak memaklumkan kepadanya. Ini yang membuatkan kami berasa sungguh hairan,” tegasnya.

Rafidin menjelaskan bahawa kali terakhir firma guamannya menghantar surat kepada JTS Sibu ialah pada 20 Januari lalu namun jawapannya tetap sama iaitu JTS Sibu masih mendiamkan diri.

“Dua tahun sudah dua pemilik tanah ini berhubung secara rasmi dengan JTS Sibu bagi menyelesaikan masalah ini tetapi mereka masih gagal memberikan status tanah ini kepada pemiliknya. Sebenarnya, tanah ini milik individu bukannya tanah kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohini menjelaskan bahawa pembinaan  insfrastruktur di atas tanahnya membantutkan usahanya mahu memperbesarkan lagi rumahnya.

Ini kerana di depan rumahnya ada jalan raya, lampu jalan dan paip yang disalurkan kepada penduduk lain.

“Hasrat saya mahu menyambung rumah saya ke depan lagi tidak tercapai. Ini disebabkan pihak yang berkenaan tidak mempedulikan kami seterusnya menganggap tanah ini adalah tanah kerajaan.

“Sudah beberapa kali kami mahu JTS Sibu menjelaskan status tanah kami ini namun mereka berdiam diri.

“Jadi secara rasminya kami menutup jalan ini kepada umum kerana kami ada hak sebab ini tanah kami,” tegasnya.

Tambahnya, mereka akan menutup jalan ini selagi pihak JTS tidak tampil menyelesaikan masalah terbabit dengan mereka.

“Selagi tiada pengesahan daripada JTS Sibu, kami agak susah untuk menuntut pampasan ke atas tanah kami ini daripada agensi-agensi yang berkaitan.

“JTS Sibu harus membantu kami kerana kami ada membayar premium tanah sejak sekian lama dan ini tanah kami bukannya tanah kerajaan. Kami berhak ke atasnya,” katanya.

Sehubungan itu, Rafidin menggesa JTS Sibu tampil menyelesaikan masalah berkenaan dengan secepat mungkin bagi mengelak sebarang kesulitan berlaku.

“Selagi tiada jawapan daripada JTS Sibu, dua pemilik tanah itu akan terus menutup jalan ini.

“Begitu juga, selagi mereka tidak memberi status tanah ini, pemiliknya agak susah mahu menuntut pampasan,” tegas Rafidin.

Tinjauan semalam mendapati penduduk kampung menghadapi kesukaran apabila Jalan Sentosa Timur yang menghubungkan SK Sentosa ditutup.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>