SRI AMAN: Umat Islam diajak bersungguh-sungguh melahirkan golongan terhebat dan terunggul yang disebut sebagai generasi al-Quran pada masa akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, generasi berkenaan akan menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan tertinggi dengan hadis Rasullullah SAW sebagai petunjuk, penerang dan penafsiran kepada sumber utama.
“Saya menekankan perkara tersebut kerana generasi hari ini merupakan bakal pewaris kecemerlangan ummah, pencetus, pencorak dan seterusnya bakal menjadi pemimpin generasi akan datang.
“Atas sebab inilah perlunya kewujudkan golongan generasi al-Quran memandangkan tanpa mereka, keutuhan dan kesinambungan perjuangan sesuatu masyarakat akan tergugat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Jabatan Kerja Raya (JKR) Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah Sri Aman di sini, baru-baru ini.
Seramai 11 peserta qari dan enam peserta qariah dari 11 cawangan PKIJ di Sarawak menyertai tilawah tersebut.
Turut hadir Pengarah JKR Sarawak Zuraimi Sabki, Timbalan Residen Sri Aman Hamsein Atar, Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam (PKIJ) JKR Sri Aman Noor Ismail Razali, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.