Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Kesatuan, kekayaan adat budaya tradisional Dayak harus dipelihara

$
0
0

KUCHING: Kesatuan dan kekayaan adat budaya tradisional masyarakat Dayak di Pulau Borneo ini harus dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Perkara itu ditegaskan Presiden Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) Dr Dusit Jaul pada Majlis Makan Malam Festival Kebudayaan Dayak di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini malam kelmarin.

“Dengan budaya dan adat tradisional, sesebuah bangsa yang wujud dalam dunia serba moden ini pastinya memberi cabaran terhadap generasi baharu untuk mengetahui asal usul mereka. Ini yang kita tidak mahu terjadi.

“Meskipun berbeza latar belakang dan fahaman politik, kita harus bersatu dalam mempertahankan budaya dan adat tradisional Dayak ini agar terus dipelihara dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap pada majlis yang bertemakan ‘Satu Dayak Satu Borneo’.

Festival dua hari yang menyaksikan delegasi dari Kalimantan dan Sabah menyertai majlis makan malam itu menyifatkan acara tersebut sebagai platform memperkenalkan budaya dan adat tradisional Dayak yang ada di Pulau Borneo ini.

Pada masa sama Dusit menyarakan agar pertubuhan bukan kerajana (NGO) yang diwujudkan dapat terus memainkan peranan bagi mempertahankan budaya dan adat tradisional kaum Dayak.

“Di Kalimatan Barat (Kalbar) sahaja terdapat 52 NGO berkaitan kebudayaan mewakili masyarakat Dayak di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Salah satu tariannya datang dari bahagian Landak yang pernah memenangi pertandingan kebudayaan di Taiwan baru-baru ini,” katanya sambil menambah, usaha sebegini harus diteruskan bagi mempromosikan budaya dan adat tradisional Dayak di mata dunia.


RRSS terima anugerah tertinggi pertandingan tahunan Kelab Leo

$
0
0

MIRI: Kelab Leo Riam Road Secondary School (RRSS) telah menerima anugerah tertinggi dalam Pertandingan Tahunan Kelab Leo Antara Sekolah-sekolah Daerah 308A-2 (Sarawak-Brunei-Labuan-Sabah).

Antara anugerah pencapaian diterima sepanjang tahun ini ialah Top Leo Club, Top Leo Club President, Top Leo Club  Secretary, Top Leo Club Treasurer, Year Planner Award, Major Service Project Award, Major Fund Raising Project Award, Outstanding Leo Camp, Attended Leo Camp, Attended Leo Forum 2015, National Leo Day Award, Work With Lions Award, Humanitarian Assistant Award, Publicity Award, Media Publicity Award, Meaningful Project Award, Special Project Award, Environment Program Award, Most Efficient Club Award, Inter-club Event Award, Leadership Development Award, Leo Garden Award dan Leo Academic Award.

Anugerah itu disampaikan Gabenor Daerah District  308 A-2 Datuk Betty Wong pada Forum Kelab-Kelab Leo di Borneo Golf & Country Club, Bongawan Sabah, baru- baru ini.

Pertandingan itu disertai 37 Kelab Leo di sekitar Sarawak, Labuan dan Sabah dari 1 Julai 2014 hingga 30 April lalu.

Presiden Kelab Leo RRSS Kelly Liew berkata, ia merupakan pencapaian yang amat membanggakan dan sejak tahun 2010, Kelab Leo RRSS telah menerima pelbagai anugerah.

“Ini adalah kerjasama semua ahli Kelab Leo dan saya akan memastikan kelab ini terus mencapai kecemerlangan.

“Dengan anugerah ini, ia memberi semangat dan mencabar kami untuk terus mengekalkan prestasi terbaik,” jelasnya.

Nelayan ada alasan untuk terus ke laut

$
0
0

Jana pendapatan tinggi menerusi program ‘Kejayaan Nelayan Kebanggaan Negara’

KUCHING: Para nelayan tempatan kini mempunyai alasan yang kukuh untuk terus ke laut dan membawa pulang hasil yang banyak dengan pengenalan pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu program ‘Kejayaan Nelayan Kebanggaan Negara’.

Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Industrial Fishery (BIF) Sdn Bhd Chong Ted Shen berkata, menerusi pelaksanaan program itu juga, para nelayan berpeluang menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Jelasnya, program yang akan dimulakan berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini bakal disertai lapan penduduk kampung dan 110 nelayan, selain turut akan diperbesarkan meliputi seluruh negeri ini dan Malaysia amnya.

“Untuk program subsidi yang dipergiat oleh kerajaan pada masa kini ialah RM100 per tan tetapi hanya untuk ikan yang dapat dimasak (table fish), tetapi di bawah program ini, para nelayan akan memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM850 per tan untuk ikan yang dapat dimasak, RM150 per tan untuk surimi dan RM150 per tan untuk ikan baja.

“Maka, tiada had batas untuk berapa nilai subsidi yang mereka boleh tebus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikatnya dengan tujuh pelabur dari China di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Jelasnya lagi, ikan yang dapat dimasak adalah yang dijual di pasar raya, surimi pula kumpulan ikan yang diproses menjadi bebola ikan dan seumpamanya manakala ikan baja pula adalah ikan yang diproses untuk menjadi sumber makanan haiwan lain.

Selain itu, para peserta di bawah program itu juga berpeluang menikmati peningkatan percuma bagi kemudahan yang diperlukan untuk memancing seperti bot yang lebih besar atau teknologi baharu yang boleh digunakan untuk mendapat ikan yang lebih banyak.

MoU itu bertujuan membawa pelabur dari luar membantu mempromosi industri perikanan di Sarawak, selain menyediakan sistem pertukaran teknologi, kewangan dan meningkatkan tahap persaingan sesama produk nelayan tempatan sekali gus mendalami nilai produk perikanan di negeri ini.

Terdahulu, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian yang turut hadir menyaksikan MoU itu berkata, program tersebut sangat bermanfaat dan baik kerana dilihat dapat membantu para nelayan tempatan memperoleh sumber pendapatan yang lebih tinggi pada masa akan datang selain sebagai galakan kepada mereka untuk lebih kerap turun ke laut.

Sebagai tambahan, jelasnya, dengan panjang pantai di Sarawak sehingga mencecah 742km, ia membuktikan Sarawak mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

SDNU medium utama satukan masyarakat Dayak

$
0
0

SARATOK: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) memain peranan penting terutama sebagai medium utama dalam menyatupadukan masyarakat Dayak di negeri ini.

Presiden SDNU Tan Sri William Mawan Ikom berkata, dalam usaha ini, segala bentuk sentimen dan fahaman berbeza khususnya berkaitan politik harus diketepi.

“Kesatuan harus sedar bahawa  selama ini masyarakat kita banyak berpecah-belah disebabkan banyak perkara dan isu.

“Justeru, mulai saat ini, SDNU harus menyusun semula strategi menyatupadukan masyarakat Dayak agar bergabung dalam satu rumpun yang mampu bergerak seiring.

“Jika kesatuan ini ingin bergerak terus maju ke hadapan dan menjadi organisasi yang membawa banyak manfaat positif kepada masyarakat, SDNU harus berusaha menarik minat golongan muda dan tua bersatu di bawah payung SDNU.

“Jangan bawa matlamat politik ke dalam kesatuan ini, kerana perkara ini boleh memecahbelahkan masyarakat kita. Apa yang kita ingin lihat pada masa kini ialah masyarakat kita bersatu dan bergerak maju ke hadapan seperti kaum lain,” katanya.

Mawan berkata demikian pada Majlis Ngiling Tikai Gawai anjuran SDNU Cawangan Saratok dan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Saratok yang diadakan di Dewan Rumah Dayak dekat sini, malam kelmarin.

Kata Mawan SDNU harus bergiat lebih aktif pada masa akan datang, khususnya melibatkan aktiviti yang berkaitan dengan tanggungjawab sosial dan mengeratkan perpaduan sesama kaum Dayak.

Pada masa sama, Mawan yang juga Ahli Parlimen P205 Saratok turut memohon SDNU Cawangan Saratok agar menyedia kertas kerja dan pelan membangun serta menaik taraf Rumah Dayak Saratok yang telah berusia 30 tahun.

“Rumah Dayak ini satu lambang penting bagi masyarakat kita. Kita di Saratok harus bersyukur kerana mempunyai Rumah Dayak yang banyak berjasa kepada masyarakat di sini.

“Justeru, kita cadang agar Rumah Dayak Saratok ini dinaik taraf untuk keselesaan semua pihak. Sebuah jawatankuasa harus dibentuk oleh pihak SDNU Saratok untuk merealisasikan matlamat ini.

“Pihak kita bersedia memperuntuk bantuan berjumlah RM100,000 untuk menaik taraf Rumah Dayak Saratok,” jelas Mawan.

Pada majlis sama, Mawan turut menyampaikan cek berjumlah RM25,000 kepada SDNU Cawangan Saratok dan RM25,000 kepada SIDS Cawangan Saratok.

Turut hadir pada majlis ini ialah Pengerusi SDNU Cawangan Saratok Jeti Kumpai Dunstan Endawie, Pengerusi SIDS Cawangan Saratok Juliana Bedus serta sekitar 500 tetamu yang lain.

DAP yakin mampu kekalkan 12 kerusi sedia ada

$
0
0

DAP Sarawak bakal berdepan cabaran besar namun Lim yakin parti mampu tangani cabaran dihadapi

Oleh Florence Nervyn //

SIBU: Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang yakin parti mampu mengekalkan 12 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau turut mengakui DAP Sarawak bakal berdepan dengan cabaran besar namun yakin parti itu mampu menangani cabaran dihadapi.

“Saya yakin DAP Negeri mampu mengekalkan kemenangan di 12 kerusi pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” jelasnya sambil menambah DAP kini memasuki kawasan luar bandar.

DAP memenangi 12 kerusi pada PRN Ke-10 (2011) di DUN Padungan, Pending, Batu Kawah, Kota Sentosa, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Pelawan, Kidurong, Piasau dan Pujut.

Lim berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat DAP Sibu di Pusat Komersil Taman Rejang di sini, semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, Lim memberitahu, skandal terbesar dihadapi di Malaysia adalah 1MDB yang melibatkan kehilangan wang berbilion ringgit.

“Menurut laporan Wall Street pada dua hari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan dana itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas,” ujarnya.

Lim berkata, pembangunan syarikat ditubuh di Semenanjung Malaysia berhubung kait rapat dengan 1MSarawak ditubuhkan di Sarawak bakal menjadi topik hangat.

Beliau menegaskan kekeliruan dan keadaan politik tidak menentu di Malaysia kini memasuki tahun sangat mencabar dengan hala tuju dan masa depan Malaysia dalam perbincangan.

Pejabat DAP Sibu yang baharu itu mengakhiri penantian parti untuk memiliki premis sendiri di sini selepas 37 tahun sejak DAP mula bertapak di Sibu pada 21 September 1978.

Hadir sama ialah Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Sibu Osar Ling, Ahli Parlimen Alice Lau, isteri mendiang bekas Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng (Irene Chang), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong, ADUN Dudong Yap Hoi Liong, ADUN Meradong Ting Tze Fui, ADUN Batu Kawah Christina Chiew dan ADUN Pending Violet Yong.

Ahli PRS diingat tidak berbalah, sebaliknya bersatu hadapi PRN

$
0
0

SERIAN: Ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) diingatkan agar tidak berbalah antara satu sama lain sebaliknya kekal bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata sudah menjadi lumrah wujud golongan yang tidak menyenangi antara satu sama lain dan sebaliknya, lebih-lebih lagi dalam dunia politik.

“PRS adalah parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kedua besar di Sarawak, jadi ahli-ahlinya mesti kekal bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Setiap ahli mesti melupakan perkara yang berlaku pada masa lalu dan merenung sedalam-dalamnya objektif parti bagi memastikan kemenangan besar serta kekal menjadi kuasa ‘menggerunkan’ dalam BN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gawai 2015 serta Ngiling Tikai Balai Ringin di Dewan Masyarakat Balai Ringin, dekat sini malam kelmarin (Sabtu).

Masing yang juga Menteri Kanan Negeri merangkap Menteri Kemajuan Tanah turut meminta ahli parti agar mengubah cara berfikir dan tidak menolak pihak yang menentang (parti) pada PRN yang lalu.

“Kita perlu berhenti membenci mereka. Kita perlu maafkan (mereka) dan membawa semula mereka menyertai kita (parti) dan BN, dengan itu mereka boleh kembali memperkukuh serta menyokong parti untuk menang besar,” tambahnya.

Tegasnya sikap memaafkan dapat menyatupadukan semula semua pihak agar terus hidup bersatu dan aman seterusnya bersama melakar kejayaan untuk melahirkan masyarakat lebih baik dan membina negara maju.

Bagaimanapun Masing mengakui untuk ‘melindungi’ lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan enam Ahli Parlimen daripada parti itu bukan tugas mudah lebih-lebih lagi jika perpaduan dalam parti tidak wujud.

“Sebagai pemimpin kita mesti tahu menyatukan semua pihak dan menyelesaikan rasa tidak senang hati dalam kalangan kita.

“Pemimpin mesti menjadi contoh terbaik kepada yang lain dan memaafkan pihak menentang kita seterusnya melupakan perbezaan antara kita supaya kita boleh menjadi lebih kuat,” tambah ADUN Baleh itu.

Ujarnya, akar umbi tidak akan memberi sokongan kepada barisan pemimpin parti atau lebih tepat wakil rakyat kita perbalahan antara kumpulan tersebut terus berlaku.

“Yang lepas biarlah berlalu,” katanya sambil menambah bahawa pengundi di Balai Ringin perlu kekal bersatu dan melupakan perbezaan yang berlaku lebih-lebih lagi selepas PRN lalu.

Sementara itu ADUN Balai Ringin yang juga penasihat majlis, Snowdan Lawan berkata Masing bukan sebagai presiden parti tetapi pemimpin Iban yang berani bersuara dan memperjuangkan hak komuniti itu.

“Beliau (Masing) adalah pemimpin yang harus dicontohi kerana beliau telah banyak berkorban untuk Iban dan komuniti Dayak amnya, memastikan suara kita didengar serta hak kita dipertahankan,” katanya.

Justeru beliau meminta para pengundi terus memberi sokongan dan mandat penuh kepada BN khususnya di Balai Ringin termasuk presiden parti.

Pada majlis sama, Masing dibantu Snowdan menyampaikan sijil pelantikan kepada tuai rumah dan ketua kaum baharu dilantik dari kawasan berkenaan.

Pertahan kedaulatan Sarawak: Dr Jeffrey

$
0
0

Malaysia kini berdepan dengan masalah besar seperti beban hutang dan lain-lain

Oleh Agnes Tugong //

BAU: Pengerusi Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan semalam terus mengingatkan rakyat Sarawak agar mempertahankan kedaulatan negeri ini daripada kuasa luar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, negara kita Malaysia kini sedang berhadapan dengan masalah besar seperti beban hutang dan pelbagai masalah lain.

Malah katanya, situasi di negeri kelahirannya iaitu Sabah lebih teruk apabila golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) diberi kewarganegaraan oleh kerajaan pusat.

“Saya telah cuba sedaya upaya mempertahankan hak-hak rakyat Sabah tetapi pencerobohan tetap berlaku dan menjadi semakin parah sehingga ramai orang di Sabah sudah berputus asa.

“Anda di Sarawak masih bertuah kerana hak-hak anda dijaga dengan baik dan inilah yang harus anda pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Gawai di kediaman Timbalan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Patrick Anek Uren di sini semalam.

Dr Jeffrey Kitingan yang juga pengasas United Borneo Front atau dalam bahasa Malaysianya Barisan Borneo Bersatu berada di negeri ini bagi menghadiri jamuan malam sempena Festival Dayak Borneo.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Jeffrey berkata adat merupakan amalan atau undang-undang asal orang asal Sabah dan Sarawak yang menunjukkan bahawa kita adalah masyarakat bertamadun.

Sebab itu katanya, tidak salah untuk rakyat peribumi Sabah dan Sarawak menuntut hak-hak mereka daripada dicerobohi oleh pihak luar.

“Jika bukan kita siapa lagi yang harus mempertahankan hak-hak kita.

“Sebab itu Sabah dan Sarawak harus saling membantu antara satu sama lain bagi mempertahankan hak-hak kita ini.

“Jangan sampai orang lain mengambil kesempatan ke atas kebaikan kita  seperti cerita unta yang menendang keluar tuannya dari khemah dek kerana kebaikan tuannya tanpa menyedari niat sebenar untanya itu,” katanya.

Adenan berbuka puasa bersama 85 kanak-kanak kurang bernasib baik di BCCK

$
0
0
SUMBANGAN: Adenan bersama Jamilah menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Batu 12 pada majlis berbuka puasa di BCCK kelmarin.

SUMBANGAN: Adenan bersama Jamilah menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Batu 12 pada majlis berbuka puasa di BCCK kelmarin.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berbuka puasa bersama 85 kanak-kanak daripada Rumah Kanak-Kanak Batu 12, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini kelmarin.

Turut bersama berkongsi keberkatan bulan suci itu kelmarin ialah isteri kepada Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu serta ahli Lembaga Pengarah BCCK.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BCCK Eric Van Piggelen, mendekati mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat merupakan aktiviti yang sentiasa dekat di hati BCCK.

Aktiviti berbuka puasa bersama kanak-kanak ini telah dilaksanakan sejak 2011 dengan harapan dapat memberi kelainan kepada mereka dalam hari-hari kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

“Tahun ini, BCCK ingin berkongsi keistimewaan dengan menyajikan kanak-kanak ini dengan hidangan yang istimewa.

“Harapan kami ia akan menjadi kenangan bermakna kepada kanak-kanak ini termasuk kehadiran Ketua Menteri kita, “ katanya.

Dalam pada itu selain berbuka puasa, Ketua Menteri semalam turut serta dalam solat terawih.

Kanak-kanak yang diraikan kelmarin turut menerima sumbangan daripada Ketua Menteri dengan nilai keseluruhan RM5,000.

Setakat ini, BCCK telah berkerjasama dengan pelbagai organisasi kebajikan seperti Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), Salvation Army, Cheshire Home dan Rumah Anak-anak Yatim Laila Taib.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar serta Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.


Jangan guna bahan ancam keselamatan pelanggan

$
0
0

Pengusaha kuih tradisional disaran tidak menggunakan ‘stapler’ pada kuih tradisional yang dijual di bazar Ramadan

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

KEKAL TRADISIONAL: Kuih tepung pelita kekal menggunakan lidi kelapa sebagai pengepit berbanding penggunaan ‘stapler’ yang diamalkan segelintir pengusaha kuih tradisional masa kini.

KEKAL TRADISIONAL: Kuih tepung pelita kekal menggunakan lidi kelapa sebagai pengepit berbanding penggunaan ‘stapler’ yang diamalkan segelintir pengusaha kuih tradisional masa kini.

MIRI: Pengusaha kuih tradisional disaran tidak menggunakan ‘stapler’ atau pengepit kertas pada kuih tradisional yang dijual di bazar Ramadan berikutan ia boleh mengancam keselamatan pelanggan.

Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Malam Kawasan SABERKAS Miri Abdul Rahman Jawawi berkata Jabatan Kesihatan Miri sebelum ini telah memberi taklimat kepada penjaja tentang isu itu.

“Bagi Bazar Ramadan SABERKAS, semua penjaja diberi taklimat tentang bahaya penggunaan ‘stapler’ pada kuih-muih tradisional yang boleh mengancam keselamatan pelanggan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurutnya, penjaja di bazar berkenaan masih menggunakan lidi kelapa bagi mengepit kuih-muih tradisional seperti kuih bongkol, celorot, tapai dan sebagainya.

“Kami sememangnya tidak menggalakkan penjaja menggunakan ‘stapler’ pada kuih-muih kerana kami sedar ia boleh mengancamkan keselamatan pelanggan,” jelasnya.

Beliau berkata perubahan penggunaan lidi kelapa kepada ‘stapler’ tidak digalakkan kerana ia boleh mendatang risiko bahaya kepada pelanggan.

“Meskipun perubahan trend, tidak semua penjaja menggunakan ‘stapler’ pada kuih-muih mereka sebaliknya masih ramai yang menggunakan kaedah tradisi iaitu lidi kelapa,” jelasnya.

Tinjauan Utusan Borneo menyedari penggunaan ‘stapler’ untuk menggantikan lidi kelapa bagi mengepit kuit-muih tradisional dikesan sebelum Ramadan.

Penjaja kuih-muih di jalanan juga sebelum ini turut dikesan menjual kuih-muih tradisional yang dikepit dengan ‘stapler’ seperti pulut panggang, tepung pelita, tapai dan sebagainya.

Meskipun penggunaan lidi kelapa dianggap lapuk, namun masih selamat untuk digunakan jika dibandingkan dengan penggunaan ‘stapler’.

JBPM terus dedah kepentingan langkah menyelamat

$
0
0

Ia amat penting terutama kepada masyarakat di kawasan luar bandar yang berada agak jauh dari balai

Oleh Kepu Sidi //

BINTANGOR: Pendedahan secara berterusan kepada masyarakat tentang betapa pentingnya memahami langkah menyelamatkan diri semasa berhadapan dengan situasi yang mencemaskan seperti kebakaran akan terus menjadi agenda utama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bintangor Nicholas Belulin berkata, usaha itu amat penting terutama kepada masyarakat di kawasan luar bandar yang berada agak jauh dari balai serta anggota bomba yang kerap lalai, cuai dan panik bila berhadapan dengan situasi berkenaan.

“Kita tidak mahu masyarakat menganggap latihan seperti ‘fire drill’ sebagai salah satu aktiviti yang mana peranan utamanya hanya dimainkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sahaja.

“Masyarakat harus sedar bahawa konsep utama aktiviti ‘fire drill’ dijalankan adalah untuk memberi kesedaran kepada semua pihak tentang pentingnya mengambil langkah keselamatan terutama dalam menghadapi sebarang bencana yang berkaitan khususnya kebakaran.

“Langkah-langkah keselamatan ini amat perlu untuk dipatuhi terutama dalam menghadapi situasi kecemasan agar risiko kemalangan dan bencana-bencana yang tidak diingini berlaku dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Fire Point di Surau Darul Zabidin, Kampung Muara Lebaan, baru-baru ini.

Tambah Nicolas, aktiviti itu juga adalah bertujuan membiasakan semua pihak dalam mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya, agar mereka tidak panik.

“Maka dengan matlamat berkenaan, usaha memberi kesedaran kepada semua pihak harus dipergiatkan agar masyarakat dan pihak berkaitan peka serta faham dengan langkah keselamatan yang seharusnya diambil, apabila berhadapan dengan situasi mencemaskan itu.

“Pada masa yang sama, kita mahu masyarakat tahu tentang langkah dan cara menggunakan alat pemadam api dengan betul serta tepat berdasarkan situasi dan keadaan kecemasan.

“Langkah ini amat penting bagi memastikan risiko kemalangan diri dapat diatasi dan dielakkan daripada berlaku pada waktu kecemasan tersebut berlaku,” katanya.

Pada program berkenaan, masyarakat turut didedahkan dengan cara menggunakan alat pemadam api dengan betul dan penyerahan empat unit alat pemadam api kepada penduduk kampung terbabit.

Turut hadir Ketua Kampung Muara Lebaan Bintangor Abang Abdul Wahab Abang Kifwari serta sekitar 50 penduduk kampung yang lain.

Lampu isyarat sudah setahun tidak diberi perhatian

$
0
0

BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ting Tze Fui meminta kerajaan negeri memantau dan memastikan Jabatan Pentadbiran Negeri memberi perhatian kepada aduan tempatan dan menyelesaikan masalah tempatan dengan serius.

Beliau bersama Ahli Jawatankuasa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bintangor sekali lagi mengadakan protes di simpang Jalan Kelupu di sini berikutan lampu isyarat di simpang tersebut rosak sejak setahun lalu.

Ting berkata lampu isyarat itu mulanya dilanggar lori kira-kira setahun lalu namun sehingga kini masih tidak diperbaiki oleh pihak bertanggungjawab.

“Keadaan trafik di persimpangan jalan tersebut amat sibuk dan terdapat banyak kenderaan lalu-lalang di persimpangan jalan.

“Lampu isyarat rosak amat membahayakan pengguna jalan raya dan mungkin menyebabkan berlaku kemalangan,” katanya di sini semalam.

Beliau pernah berjumpa dengan pegawai daerah Meradong kira-kira enam bulan lalu dan meminta pihak bertanggungjawab membaiki lampu isyarat tersebut dengan secepat mungkin.

“Tetapi nampaknya keselamatan pengguna jalan raya tidak diambil berat oleh pihak berkenaan.

“Saya juga telah bertanya kepada kementerian berkaitan mengenai masalah tersebut dan saya masih menunggu jawapan bertulis daripada pihak kementerian itu,” jelasnya.

Masyarakat luar bandar perlukan pembangunan

$
0
0

Masyarakat DUN Repok, DUN Meradong, Parlimen Sarikei terima tempias di bawah pembangkang

Oleh Kepu Sidi //

C_PC0006403

TURUN PADANG: Ding bersama penduduk ketika mengunjungi dua rumah panjang, Rumah Jang dan Rumah Ancal di Sarikei semalam.

TURUN PADANG: Ding bersama penduduk ketika mengunjungi dua rumah panjang, Rumah Jang dan Rumah Ancal di Sarikei semalam.

TURUN PADANG: Ding bersama penduduk ketika mengunjungi dua rumah panjang, Rumah Jang dan Rumah Ancal di Sarikei semalam.

SARIKEI: Tidak dapat dinafikan sejak dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Repok dan DUN Meradong serta Parlimen Sarikei jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya lalu, masyarakat di luar bandar lebih banyak menerima tempias daripada situasi tersebut.

Ketua Barisan Nasional (BN) Parlimen Sarikei Ding Kuong Hing berkata masyarakat luar bandar masih memerlukan sokongan, panduan dan bantuan pemimpin setempat khususnya daripada parti komponen BN.

“Masyarakat di dua kawasan itu sudah agak jauh ketinggalan dalam pembangunan jika dibandingkan tempat lain yang mempunyai ADUN daripada BN serta disokong Ahli Parlimen juga daripada BN.

“Seandainya kerusi-kerusi tersebut dimiliki wakil BN adalah mudah bagi kerajaan BN menyalurkan dan mempergiat pembangunan di kawasan terbabit.

“Campuran dua parti berbeza di satu kawasan khasnya yang berlainan fahaman politik bukannya sesuatu yang baik kerana seperti pengalaman lalu apabila kerajaan BN mahu memaju dan mempergiat pembangunan di kawasan terbabit sudah pasti pihak bertentangan cuba memburuk-burukkan usaha itu,” katanya ketika mengunjungi dua buah rumah panjang iaitu Rumah Jang dan Rumah Ancal di sini semalam.

Menurut Ding, sejak situasi itu berlaku rakyat sudah pasti dapat merasakan beberapa kekurangan dan kesukaran bagi mereka terutama untuk mengadu masalah.

Tambahnya, masyarakat di bandar harus sedar bahawa dalam pentadbiran BN pada selama ini mereka paling banyak mendapat dan menerima nikmat kemudahan dan pembangunan daripada masyarakat di luar bandar.

“Mereka harus bersyukur kerana dapat hidup dalam suasana serba lengkap, jika dibanding masyarakat luar bandar.

“Malah, melalui transformasi dilaksanakan kerajaan dengan memberi fokus kepada masyarakat luar bandar pada masa ini masyarakat di bandar turut mendapat tempias,” jelasnya.

Justeru jika masyarakat ingin menikmati pembangunan berterusan, kepercayaan terhadap kerajaan BN dan sokongan penuh kepada pemimpin BN harus diperkukuhkan.

Hantar penyata GST 03 bulan Mei sebelum akhir Jun 2015

$
0
0

KUCHING: Pendaftar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diingatkan untuk menghantar penyata GST 03 bulan Mei sebelum akhir Jun 2015 ini.

Peringatan ini dibuat oleh Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Dayang Fatimah Johari kepada 5,154 peniaga/syarikat yang perlu berbuat demikian sebelum atau pada tarikh akhir.

Daripada jumlah tersebut, Fatimah berkata sehingga semalam, hanya 270 peniaga/syarikat atau 5.23 peratus sahaja yang telah menghantar penyata GST 03 bagi bulan Mei.

“Penyata pertama GST iaitu penyata GST 03 bagi bulan April telah mula dihantar oleh pendaftar GST bermula Mei 2015.

“Bagaimanapun daripada 5,210 peniaga/syarikat yang perlu menghantar penyata bulan April sebelum 31 Mei, hanya 4,871 yang telah berbuat demikian sehingga semalam.

“Walaupun tempoh penghantaran telah dilanjutkan kepada 15 Jun 2015, namun masih ada yang gagal berbuat demikian dan kami menyeru pendaftar GST yang belum menghantar penyata bulan April untuk segera berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program GST Bersama Pelanggan 2015 di Wisma Kastam, Medan Raya di sini semalam.

Program yang pertama seumpamanya itu sejak GST dilaksanakan telah dihadiri kira-kira 300 peserta terdiri daripada pendaftar GST.

Tambah Fatimah, di Sarawak sejumlah 25,279 peniaga/syarikat telah mendaftar sebagai pendaftar GST.

Daripada jumlah itu, Kuching merekodkan jumlah pendaftar terbesar iaitu sebanyak 11,617 pendaftar GST diikuti Sibu dengan sejumlah 5,513 pendaftar, Miri sebanyak 4,181 pendaftar, Bintulu 2,703 pendaftar diikuti Sarikei dan Limbang masing-masing 752 dan 505 pendaftar GST.

Bagi memastikan peniaga mematuhi kehendak perundangan GST, beberapa operasi telah diadakan oleh pihak jabatan selepas GST dilaksanakan pada 1 April 2015.

Antaranya, Ops Catut iaitu operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan peniaga/syarikat tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Satu lagi operasi yang diadakan ialah Ops ‘Mystery Shopping’ yang merupakan operasi khas jabatan bagi memastikan peniaga/syarikat mematuhi kehendak perundangan GST.

Selain itu, sepanjang Januari hingga 22 Jun 2015, jabatan telah mengadakan sejumlah 23 program ‘Handholding’ yang melibatkan sejumlah 1,625 peniaga/syarikat.

Lebih RM2.5 juta barangan seludup dirampas

$
0
0

Ia adalah nilai rampasan sepanjang lima bulan pertama tahun ini melibatkan cukai berjumlah RM7.7j

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Bahagian penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas barangan seludup bernilai lebih RM2.5 juta sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun 2015 ini.

Rampasan ini menurut Pengarahnya Datuk Dayang Fatimah Johari, melibatkan cukai berjumlah RM7.7 juta lebih.

“Antara barangan utama yang dirampas ialah rokok, minuman keras, mercun/bunga api dan kenderaan.

“Rokok merupakan komoditi utama yang dirampas dalam tahun ini dengan nilai sebanyak RM617,437.97 serta cukai sebanyak RM6.4 juta lebih.

“Ini diikuti minuman keras dengan nilai sebanyak RM193,113.40 dan cukai sebanyak RM879,514.43,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Bersama Pelanggan 2015 di Wisma Kastam, Medan Raya di sini semalam.

Tambah Fatimah, secara keseluruhan tahun ini seramai 56 orang telah didakwa di mahkamah dan didapati bersalah kerana menjual dan mengedar rokok belum lulus kastam.

“Secara umumnya, sebahagian besar daripada kejayaan yang diperolehi adalah hasil daripada aktiviti-aktiviti mencegah penyeludupan yang dibuat secara berterusan dan bersepadu seperti operasi outlet, rondaan darat, sekatan jalan raya serta pemeriksaan rapi ke atas kontena di pelabuhan.

“Jabatan juga mendapati, aktiviti penyeludupan banyak berlaku menjelang sambutan perayaan utama seperti Gawai Dayak dan Hari Raya Puasa kerana permintaan yang tinggi ke atas barangan seludup.

“Disebabkan itu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM, khususnya di Sarawak telah meningkatkan usaha bagi mematahkan bekalan dan penghantaran barangan seludup melalui aktiviti rondaan dan pemeriksaan outlet yang lebih kerap,” tambah Fatimah.

Dalam pada itu, orang ramai diseru untuk memberi kerjasama kepada jabatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan yang diketahui seperti rokok, minuman keras dan mercun.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Sarawak di talian 082-333133.

Pelajar Dayak harus cemerlang pelbagai aspek, kata Harden

$
0
0

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis mahu pelajar Dayak di negeri ini cemerlang dalam pelbagai aspek termasuk bidang pelajaran.

Beliau berkata, ini penting kerana pelajar Dayak harus mengorak langkah menguasai ilmu pengetahuan agar seiring dan setanding dengan pelajar kaum lain.

“Jangan anggap ilmu pengetahuan tidak penting kerana ilmu adalah penghubung utama kehidupan masa depan,” katanya pada Program Motivasi dan Teknik Menjawab Soalan SPM 2015 anjuran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Simanggang dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman di sini Sabtu lalu.

Menurutnya, ramai pelajar beranggapan selepas menamatkan pelajaran mereka pada peringkat SPM, maka berakhir setakat itu sahaja sebaliknya banyak peluang melanjutkan pelajaran selepas itu.

“Kita tidak mahu pelajar Dayak beranggapan seperti itu kerana kita mempunyai banyak peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan banyak kemudahan pinjaman pelajaran disediakan kerajaan sekiranya tidak mempunyai kemampuan melanjutkan pelajaran.

“Saya mahu pelajar Dayak menepis pemikiran mereka menimba ilmu setakat SPM sahaja dan selepas itu cuba mencari pekerjaan kerana sijil SPM belum dapat menjamin masa depan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu menambah, ramai pelajar berlumba-lumba mencari ruang menimba ilmu pengetahuan sama ada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). “Peluang itu hanya datang sekali sahaja dan gunakan segala peluang untuk mencapai kejayaan,” jelasnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman Vivien Mujah, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman Whelthon Lumpoi serta Pengerusi SDNU Simanggang Roland Demong Radin.

Pada majlis itu, Harden mengumumkan peruntukan RM10,000 manakala Masir RM5,000 kepada SDNU Sri Aman menjalankan aktiviti mereka.

Seramai 200 pelajar mengambil bahagian pada program itu untuk menanam sikap positif, meningkatkan keyakinan diri, bekerjasama, bertoleransi dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran untuk mencapai keputusan cemerlang.


Miri tuan rumah Konvensyen Pendidikan Prasekolah Ke-10

$
0
0

MIRI: Bandar raya Miri sekali lagi terpilih sebagai tuan rumah Konvensyen Pendidikan Prasekolah Ke-10 di Hotel Mega bermula 18 hingga 20 September akan datang

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ini merupakan kali kedua konvensyen itu diadakan di sini, sebelum ini pernah diadakan di Sibu dan Kuching.

“Setelah 10 tahun dianjurkan adalah wajar kita melancarkan ‘website’ agar semua kertas kerja dan maklumat konvensyen ini dapat dikongsikan bersama,” katanya di sini semalam.

Maklumat laman web itu boleh dijadikan panduan kepada penduduk termasuk ibu bapa, guru dan pengusaha prasekolah.

Fatimah berkata tujuan aktiviti itu ialah meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran ibu bapa dan guru tentang peranan masing-masing.

“Kerjasama bijak antara mereka penting dalam meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak,” jelasnya.

Dianggarkan seramai 500 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru, pengusaha prasekolah dan individu terlibat pada konvensyen bertema ‘Kerjasama Bijak Ibu Bapa dan Guru: Pemangkin Pendidikan Awal Kanak-Kanak Berkualiti’.

“Kita mahu semua kanak-kanak mendapat akses prasekolah yang berkualiti kerana ia adalah asas kukuh melahirkan modal insan yang berkualiti,”  tambah beliau.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan iaitu pertama, ‘Peranan Ibu Bapa Menyediakan Anak-Anak Ke Alam Persekolahan’ oleh Profesor Dr Mariani Md Nor, kedua ‘Peranan Guru Dalam Menggalakkkan dan Memupuk Penglibatan Ibu Bapa Dalam Asuhan, Bimbingan dan Didikan Alam Prasekolah oleh Dr Siti Zaliha Reduan dan ketiga ‘Model Kolaborasi Ibu Bapa dan Guru dan Pendidikan Awal Kanak-‘ oleh Roslin Batu daripada SK Paon Tembaga, Lundu.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata penganjurannya di sini merupakan peluang keemasan kepada penduduk Miri termasuk dari Limbang dan Lawas menyertai aktiviti itu.

Bayaran RM10 dikenakan untuk setiap peserta sebelum tarikh tutup pada penghujung Ogos akan datang.

Untuk maklumat dan pendaftaran sila hubungi Siti Nurhaiza di talian 0128888341 atau Pejabat Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) di talian 082-444212.

Pertanyaan juga boleh die-mel ke alamat sitinura@sarawak.gov.my

Rumah panjang disyor ambil insurans kebakaran

$
0
0

Kejadian kebakaran melibatkan kerugian sehingga hilang harta benda, tempat tinggal

Oleh Watt Zacchaeus //

KANOWIT: Setiap rumah panjang di negeri ini disyorkan mengambil insurans bagi mengatasi masalah kekerapan berlakunya kebakaran rumah panjang.

Menteri Muda Kemudahan Awam merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata ini kerana kejadian kebakaran melibatkan kerugian sehingga hilang harta benda dan tempat tinggal.

“Buat pembaharuan dengan insuranskan rumah panjang kerana kejadian kebakaran rumah panjang semakin kerap berlaku.

“Jika semua harta kita musnah dalam kebakaran sekurang-kurangnya kita masih ada duit insurans.

“Ini sedikit sebanyak meringankan beban kita daripada terus tinggal sehelai sepinggang,” katanya pada Majlis Penyerahan Derma daripada Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kepada Rumah Meruan, Skim Penempatan Semula Nanga Tada yang ranap dalam kebakaran, di sini semalam.

Rundi yang juga setiausaha agung PBB merangkap setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Sarawak menyerahan bantuan sejumlah RM36,000 kepada Tuai Rumah Meruan Ngumbang.

Penyerahan itu disaksikan Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong serta setiausaha-setiausaha politik Ketua Menteri.

Beliau yang juga ADUN Kemena berkata, penduduk rumah panjang boleh berbincang dengan syarikat-syarikat insurans bagi tujuan tersebut.

Jelasnya, beliau turut berbuat demikian untuk penduduk rumah panjangnya di Bintulu yang mempunyai 28 pintu bagi menginsuranskan rumah panjang mereka.

Sementara itu, Dr Rundi memohon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengadakan program di rumah panjang bagi mewujudkan kesedaran penduduknya terhadap bencana.

“Bomba juga perlu melakukan kajian terhadap struktur pembinaan rumah panjang bagi mengelak api merebak dengan cepat.

“Jika rumah panjang baharu, kita boleh membina dinding penghadang sehingga ke atas siling antara sebelah menyebelah bilik.

“Dinding penghadang ini dapat menghalang api daripada cepat merebak ke satu sama lain sementara menunggu bomba datang sekiranya berlaku kebakaran,” ujarnya.

Terdahulu, Alexander berkata banyak lagi bantuan daripada BN diterima mangsa kebakaran Rumah Meruan.

Justeru, beliau tidak mahu penduduk rumah panjang tersebut membuat aduan atau tuduhan terhadap BN tidak membantu mereka semasa dilanda musibah.

“Pihak lain juga ada membantu tetapi BN banyak membantu meringankan beban mangsa-mangsa terbabit,” jelasnya.

Beliau berkata agensi-agensi kerajaan di sini menunjukkan komitmen tinggi dan kerjasama erat membantu mangsa-mangsa sejak mula dilanda musibah.

Penduduk di Kg Mundai tidak berpuas hati dengan keadaan jalan yang teruk

$
0
0
TIDAK MEMUASKAN: Colin (kanan) bersama seorang lagi pemimpin DAP meninjau keadaan jalan raya di Lorong 4, 5 dan 9 Kampung Mundai, Padawan.

TIDAK MEMUASKAN: Colin (kanan) bersama seorang lagi pemimpin DAP meninjau keadaan jalan raya di Lorong 4, 5 dan 9 Kampung Mundai, Padawan.

KUCHING: Lebih 50 keluarga di Kampung Mundai, Padawan sangat tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya meng-hubungkan rumah mereka yang teruk.

Ini dinyatakan oleh Ke-tua DAP Kampung Mundai Collin Pirine menerusi lawatan bersama Setia-usaha Politik Pengerusi DAP Sarawak Sanjan Daik ke Lorong 4, 5 dan 9 di kampung berkenaan.

Menurut Collin, jalan dari Lorong 5 sepanjang empat kilometer adalah menjadi laluan penghubung utama bagi kira-kira 20 keluarga di kampung tersebut.

“Keadaan jalan raya di Lorong 5 sudah seperti jalan pembalakan dengan keba-nyakan bahagian jalan adalah curam dan tanpa batu di mana ia hanya dapat dilalui oleh motosikal dan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Salah seorang penduduk kampung berkata Lorong 5 telah diabaikan selama dua puluh tahun.

Katanya kerajaan telah berulang kali berjanji untuk memperbaiki keada-an jalan raya tersebut tetapi sehingga hari ini, tiada apa yang telah dilakukan.

Manakala Sanjan berkata kira-kira 20 keluarga yang tinggal di Lorong 4 juga tidak gembira dengan keadaan jalan menuju ke rumah-rumah mereka.

“Lorong sepanjang 1.5 kilometer ini hanya terletak beberapa ratus meter dari jalan utama yang berturap,” katanya.

Selain itu, katanya Lorong 9 iaitu sepanjang kira-kira 1.6 kilometer dan menjadi laluan utama bagi 10 keluarga di kampung berkenaan juga perlu dibaiki atau dinaik taraf.

“Memandangkan kerajaan baru-baru ini telah meluluskan dana tambahan sebanyak RM4 juta bagi setiap kawasan DUN untuk projek kecil luar bandar, maka adalah munasabah untuk masalah yang dinyata-kan ini diberi perhatian,” kata Sanjan.

Tribunal Pengguna tolak tuntutan pengguna terhadap SESCO

$
0
0

KUCHING: Tribunal Pengguna telah menolak tuntutan pengguna terhadap SESCO untuk semakan daripada jumlah tunggakan lebih daripada RM4,000.

Pelanggan yang hanya dikenali sebagai Lau telah memfailkan tuntutan terhadap SESCO di Mahkamah Tribunal Pengguna pada 8 Mei lepas, mendakwa bahawa premisnya telah disewakan dan dia tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar tunggakan tersebut.

Jumlah tunggakan tersebut bernilai RM4,516.30 ditanggung SESCO kerana dikesan terdapat penyelewengan pada sistem pendawaian meter pada 8 September 2011 yang dipasang di premis tersebut yang terletak di sebuah rumah kedai di Jalan Gold Jade di sini.

Pihaknya mendapati terdapat torehan pada wayar yang disambungkan di belakang suis meter dipotong keluar untuk memintas meter.

Menurut jurucakap SESCO, Lau telah mendakwa tidak mengetahui premisnya telah diperlakukan begitu dan telah disewakan kepada sebuah kafe siber sejak membeli kedai itu pada 2010.

Kemudian, sebuah kelab rekreasi telah menyewa premis yang sama beberapa bulan sebelum SESCO menemui terdapat penyelewangan.

SESCO katanya, telah ba-nyak kali mengingatkan pemilik harta untuk mendaftar nama akaun bil elektrik atas nama penyewa mereka.

Ini adalah untuk mengelakkan komplikasi dalam kes penyewa yang mengganggu meter dan pemilik perlu menanggung penalti dan berhadapan tindakan undang-undang.

Berhubung pengiraan jumlah tunggakan yang dikenakan, SESCO telah menyediakan kiraan telus tunggakan siste-matik untuk memastikan semua kes penyelewengan dilayan dengan adil dan berdasarkan kepada fakta-fakta penemuan yang kukuh.

Begitu juga dalam surat menuntut tunggakan kepada pelanggan, SESCO akan me-nyatakan penyelewengan yang dikesan dan nama orang di mana pelanggan boleh mengadakan temu janji untuk membuat pertanyaan jika ragu-ragu.

Jurucakap SESCO juga menjelaskan bahawa SESCO tidak mempunyai dasar diskaun.

“Apa-apa semakan ke atas jumlah tertunggak yang ketat berdasarkan bukti termasuk dokumen yang disediakan oleh pelanggan dan diluluskan oleh jawatankuasa rayuan SESCO.

“SESCO ingin mengingatkan orang ramai bahawa mencuri elektrik adalah satu jenayah berbahaya kerana ia membahaya-kan nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda.

Pelanggan yang meternya didapati diganggu akan didakwa di Mahkamah bagi kesalahan di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik yang membawa huku-man RM100,000 dan lima tahun penjara.

Perokok penyumbang utama jumlah individu ditangkap tidak puasa

$
0
0

KUCHING: Kaki rokok penyumbang utama jumlah individu Islam yang ditangkap kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, setakat ini seramai 11 individu Islam yang berusia antara 20 hingga 70 tahun ditangkap kerana makan, minum atau merokok di tempat awam di negeri ini.

Jelasnya, sembilan individu daripada jumlah itu ditangkap kerana merokok di tempat awam yang mana seorang daripadanya bukan warganegara.

“Setakat ini seramai 11 individu Islam ditangkap dua daripadanya perempuan kerana tidak menghormati bulan Ramadan yang kebanyakannya merokok di tempat awam,” katanya ketika mengulas perkara itu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Daud memberitahu Kuching mencatat jumlah tertinggi iaitu tujuh kes diikuti Mukah tiga kes dan Sibu satu kes.

Malah beliau menegaskan kesemua individu yang ditangkap akan didakwa dan dihukum di bawah Seksyen 14 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001.

Beliau menjelaskan, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berulang, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan masyarakat Islam yang tidak berpuasa agar jangan makan atau minum atau merokok di khalayak ramai atau di tempat awam.

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>