Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

LSS perlu beri kesedaran tentang pentingnya pakai jaket keselamatan

$
0
0

LIMBANG: Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) perlu turun padang memberi kesedaran pentingnya memakai jaket keselamatan kepada penduduk yang masih menggunakan pengangkutan air di sini serta memperketat peraturan dan undang-undang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata tindakan tegas harus diambil bagi memastikan jaket keselamatan sentiasa digunakan sebagai langkah keselamatan jika berlakunya kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, amalan memakai jaket keselamatan kerap kali diabaikan meskipun ia boleh mengundang risiko sekiranya berdepan bot karam seperti berlaku di Batang Lassa Daro, kelmarin.

“Kebanyakan orang ramai yang bergantung kepada pengangkutan air tidak mementingkan keselamatan di sungai, kerana sudah menjadi amalan biasa.

“Justeru, sudah tiba masanya LSS turun padang mengetatkan peraturan dan undang-undang sedia ada termasuk menggunakan jaket keselamatan,” katanya ditemui pada Program Bubur Lambuk Perdana di sini semalam.

Mengulas mengenai kes bot panjang karam di Batang Lassa, Daro kelmarin, Dr Abdul Rahman menjelaskan bahawa langkah berjaga-jaga perlu dititikberatkan setiap masa bukan sahaja ketika berdepan tragedi malang.

“Janganlah hanya bising sewaktu tragedi berlaku, tetapi mencegah adalah lebih baik bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

“Walaupun kita pandai berenang namun keadaan air deras boleh menyebabkan kejadian buruk menimpa kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengusaha feri dari Labuan ke Limbang yang beroperasi dua kali sehari di sini agar sentiasa melaksanakan prosedur keselamatan penumpang bagi mengelak tragedi.

“Selain pengusaha feri, kita turut meminta pemilik bot persendirian khususnya yang banyak beroperasi di Kampung Seberang Kedai melaksana prosedur keselamatan penumpang.

“Kita mohon LSS agar duduk semeja dan berdialog dengan pemilik bot persendirian untuk mendapatkan lesen, insurans dan prosedur berkaitan.

Sementara itu, lebih 200 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada penduduk Kampung Bunga Raya, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kampung-kampung berhampiran.

Program serentak diadakan di seluruh negara sempena sambutan Maulidur Rasul dianjurkan oleh JASA dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bunga Raya.

Pada majlis sama, JASA turut menyerahkan sumbangan JASA Prihatin kepada lapan orang penerima melibatkan ibu tunggal, dan orang kurang upaya (OKU).

Pelbagai program turut diadakan termasuk gotong-royong memasak bubur lambuk yang turut disertai golongan wanita.

Hadir sama Pegawai JASA Parlimen Limbang Rosmainy Mail, Pegawai Khas Ahli Parlimen Limbang Mohamad Abu Bakar, Timbalan Wali kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Waslee Tuah, Pemanca Alie Jahar dan Ketua Kampung Bunga Raya Adenan Hamdan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>