MIRI: Seorang wanita hamil dan seorang lelaki masing-ma-sing dijatuhi hukuman penjara lima dan sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret pagi semalam kerana kesalahan mendera seorang budak lelaki berusia tujuh tahun.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat ke-salahan yang dilakukan mereka serta mengambil kira kepen-tingan awam.
Hejijah Bokhari dan Farhan Malik, kedua-duanya dari Flat Hospital Miri di sini telah didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-dua-nya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati telah mendera seorang budak lelaki bernama Zainul Zhafran Juhari, berusia tujuh tahun hingga mendatangkan kecederaan pada tubuh mangsa.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 6.30 petang, 22 Februari 2013 di No.203 Tingkat 2, Blok 4 Flat Hospital Miri di sini.
Sebaik hukuman dibacakan, kedua-dua tertuduh kemudian memohon agar hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu mereka memfailkan rayuan berhubung hukuman penjara tersebut.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan kedua-dua tertuduh ma-sing-masing dibebas dengan ikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.