Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Darul Hana akan jadi model pembangunan bandar raya lain

$
0
0

AKAN DICONTOHI: Beberapa model Projek Pembangunan Darul Hana yang dipamerkan sempena pelancarannya, semalam. — Gambar Muhammad Rais Senusi

KUCHING: Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yakin penyusunan semula pusat bandar raya ini melalui Projek Pembangunan Darul Hana akan menjadi model kepada pembangunan bandar raya lain termasuk di Semenanjung Malaysia.

“Perubahan ini akan memberi kenikmatan bukan sahaja kepada masyarakat yang ada sekarang  tetapi juga untuk generasi akan datang khasnya di kalangan penduduk Melayu yang tinggal di kawasan tersebut.

“Sehubungan itu, saya yakin bandar raya kita ini akan menjadi model kepada bandar raya lain termasuk di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Darul Hana di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani dan Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Pembangunan Darul Hana iaitu transformasi ke arah kampung Melayu moden yang diilhamkan oleh Taib adalah meliputi kawasan seluas lebih 700 ekar dan melibatkan 2,389 rumah, 3,647 keluarga dan 14,660 penduduk dari 12 perkampungan melayu.

Kampung-kampung terlibat ialah Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Sourabaya Hulu, Kampung Sourabaya Hilir, Kampung Semarang, Kampung Pulo Hulu, Kampung Pulo Hilir, Kampung Bintawa Hulu, Kampung Bintawa Hilir, Kampung Bintawa Tengah, Kampung Panglima Seman Hulu dan Kampung Panglima Seman Hilir.

Kawasan yang terlibat juga akan menjadi sebuah perkampungan moden yang lengkap dengan jalan raya, pangsapuri, pusat komersial, institusi kesihatan dan pendidikan serta pusat penyebaran dan pengembangan agama serta budaya.

Justeru, Abang Johari yang juga selaku menteri bertanggungjawab terhadap projek tersebut berkata selain menyediakan keselesaan, projek tersebut juga akan memberi kesan positif dari sudut sosial dan ekonomi kepada masyarakat terlibat.

“Sudah tentu masyarakat terlibat akan mendapat faedah yang besar daripada perubahan landskap bandar raya Kuching ini.

“Sebab itulah, perancangan ini akan mengambil masa pelaksanaannya antara 10 hingga 15 tahun dan kita mempunyai visi pembangunan di kawasan tersebut.

“Justeru, saya yakin bahawa seluruh masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut akan mempunyai keadaan yang selesa,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>