KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak terus membuat pemantauan di kawasan rendah di seluruh negeri sebagai langkah berjaga-jaga pada waktu fenomena air pasang besar.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Tan Min Chai berkata, kira-kira 1,100 anggota berada dalam siap sedia untuk digerakkan di kawasan berisiko banjir di seluruh Sarawak.
“Sejak semalam (Khamis) hingga hari ini kita belum lagi menerima panggilan kes banjir baharu, tetapi kesemua anggota masih diletakkan dalam langkah berjaga-jaga khususnya musim air pasang besar ini.
“Kita juga membuat pemantauan dari masa ke masa khasnya di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah bagi mengetahui perkembangan terkini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada masa sama, Tan memberitahu beberapa kawasan yang dilanda banjir di seluruh Sarawak kian pulih ekoran taburan hujan turun semakin berkurangan.
“Kita berharap keadaan cuaca baik sepanjang tempoh musim air pasang besar ini,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Jurucakap Sarawak River Barrage (SRB) ketika dihubungi berkata, fenomena air pasang tertinggi berlaku sekitar 7 malam iaitu setinggi 11 meter.
Beliau menjelaskan setakat jam 2.30 petang semalam, paras air laut mencecah bacaan 7.2 meter dan paras air sungai pula setinggi 7.7 meter.
“Pintu baraj kita buka sekitar jam 9 pagi semalam (kelmarin) bagi membolehkan air sungai mengalir keluar selain membenarkan aktiviti kapal keluar masuk.
“Sekarang air mula pasang dan dijangka setinggi 11 meter pada jam 7 malam ini (malam tadi). Kita berharap hujan tidak turun dalam tempoh tersebut,” ujarnya.