SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis mahu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) membukukan adat Iban di rumah panjang untuk tatapan generasi muda masa depan.
Menurutnya, ramai generasi muda hari ini tidak mengetahui sejarah adat asal rumah panjang disebabkan terlalu banyak didedahkan dengan adat serta budaya masa kini.
“Justeru, perlu JKKK setiap rumah panjang mengambil inisiatif membukukan segala adat resam, budaya masyarakat Iban rumah panjang untuk tatapan generasi akan datang,” katanya pada Majlis Gawai ‘Ngiling Tikai’ Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang dan JKKK Rumah Juan, Genting San Undop, Sri Aman di sini kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, sebagai contohnya adat ‘ngiling tikai’ atau ‘bidai’ salah satu acara penutup perayaan Gawai perlu diwariskan kepada generasi muda kerana adat ini mungkin paling unik dan perlu dilihat generasi akan datang.
Jelasnya, buat masa ini hanya golongan tua di rumah panjang yang mengetahui adat ‘ngiling bidai’ atau ‘tikai’ ini dan anak-anak muda atau generasi muda tidak mengetahui adat ini.
“Adat-adat seperti ini perlu dibukukan dan ditunjukkan kepada generasi muda agar mereka dapat mewarisi serta mempelajari adat serta budaya masyarakat Iban rumah panjang,” jelasnya.
Harden turut menasihati generasi muda agar tidak menjadikan rumah panjang tempat kelahiran mereka sebagai rumah kedua mereka apabila berhijrah mencari pekerjaan suatu hari nanti.
“Generasi muda harus menjadikan rumah panjang sebagai rumah pertama walaupun sudah memiliki rumah sendiri di bandar kerana rumah-rumah panjang ini harus sentiasa dipelihara.
“Sekiranya rumah-rumah panjang dijaga tidak mustahil rumah rumah panjang lama milik kita boleh menjadi tarikan pelancong di negeri ini,” katanya sambil mengingatkan agar kebersihan dan keindahan rumah panjang sentisa dipelihara sepanjang masa.
Hadir sama Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Wali Kota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Richard Tawan Sedu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Sri Aman Edmund Pirang, Timbalan Pengerusi MDSA Kaunselor Sawing Sumar, Penghulu Bailey Gamang serta ketua-ketua masyarakat.
Pada majlis yang sama, Harden mengumumkan geran kerajaan masing-masing berjumlah RM5,000 kepada JKKK dan RM3,000 kepada Biro Wanita rumah panjang itu.
Dalam pada itu, Harden dan Masir turut mengambil kesempatan merasmikan Tangki 1Malaysia yang diagihkan kepada rumah panjang tersebut.