KUCHING: Persatuan Perumahan dan Pemaju Hartanah Sarawak (SHEDA) kini kembali menganjurkan Sarawak Builders’ Expo (SARBEX) Total Living 2014 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) selama tiga hari yang akan bermula pada 22 Ogos nanti.
SHEDA berharap acara tahunan yang diadakan setiap bulan Ogos itu, dapat membawa lebih ramai pempamer daripada pelbagai sektor seperti kesihatan dan kecantikan, hobi dan banyak lagi.
Setiausaha Agung SHEDA Sim Kiang Chiok pada sidang media di sini semalam berkata, lebih 130 gerai pameran disediakan dan daripada jumlah itu 80 peratus gerai pameran ditempah.
“SARBEX adalah platform terbaik kepada pemain daripada kalangan pemaju binaan mempromosikan dan mengetengahkan produk dan projek mereka.
“Pameran termasuk pemaju hartanah, bahan binaan, pembekal, kontraktor, ejen hartanah, agensi kerajaan dan swasta serta banyak lagi menyertai ekspo ini,” katanya.
Pada masa sama Sim memberitahu, SARBEX Total Living 2014 juga menawarkan pusat khidmat sehenti untuk orang ramai yang berkunjung di situ yang ingin mencari dan mengetahui maklumat berkaitan rumah dan pembelian hartanah.
Pada tahun lepas, pelbagai acara sampingan turut dianjurkan sepanjang pameran itu, justeru Sim berkata, SARBEX akan menganjurkan acara memasak, cabutan bertuah, pertandingan mewarna, program amal dan banyak lagi.
Sementara itu, dalam membuat pembelian hartanah, Sim menasihati pembeli mengambil peluang yang disediakan untuk membeli rumah mereka sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Namun, beliau memberitahu dengan GST atau tanpa cukai itu, hartanah pastinya akan terus melonjak naik berdasarkan permintaan dan pembangunan populasi di sesuatu kawasan.
SARBEX Total Living 2014 akan diurus oleh Absolute Cool Event (ACE) dan penaja utama Lee Onn Construction Sdn Bhd, Ibraco Bhd, RB Development Sdn Bhd, MJC City Development Sdn Bhd dan CMS Property Development Sdn Bhd.
Hadir sama pada sidang media itu semalam Penolong Program ACE Diana Sim, Bendahari Agung SHEDA Dr Richard Tan Yoke Seng dan wakil BCCK Luqman Nul Hakim.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi 082-366334 (Harea) atau e-mel ke area.activity@sheda.org.my