KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gembira dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri khasnya Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dalam memerangi jenayah rasuah di negeri ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, daripada perjumpaan dengan Adenan semalam, pihaknya telah menerima reaksi positif serta kesediaan beliau untuk memberi kerjasama dengan SPRM.
“Semasa perjumpaan ini, saya telah membawa isu yang mana kita telah memberi pandangan dan nasihat kepada Adenan mengenai keperluan untuk mengelakkan diri daripada membenarkan ahli keluarga yang terdekat daripada terlibat dalam urusan permohonan tanah dan kawasan pembalakan.
“Saya amat berbangga kerana beliau secara prinsipnya bersetuju tidak akan membenarkan keluarga terdekat sama ada isteri atau anak-anaknya untuk memohon perkara-perkara yang berkaitan.
“Ini adalah satu reaksi yang cukup positif daripada kerajaan dan Ketua Menteri untuk meningkatkan integriti pengurusan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ‘Luncheon Talk’ bersama Ketua Komuniti Cina Negeri Sarawak 2014 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Tambahnya, sehingga kini sebanyak lima kerajaan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Melaka termasuk Sarawak telah dikunjungi oleh SPRM.
Dalam pada itu, Kassim memberitahu, menjadi dasar SPRM untuk merakyatkan SPRM dan salah satu aktiviti ialah untuk mendengar daripada pemegang taruhan dan masyarakat tentang perkara yang menjadi bidang kerisauan mereka serta harapan mereka kepada SPRM untuk diberikan tumpuan.
“Daripada banyak maklumat yang kami prolehi, ramai pihak menggunakan nama orang yang berpengaruh untuk mendapatkan kemudahan atau membolehkan permohonan mereka mendapat keutamaan.
“Jadi, adalah wajar masyarakat membuat laporan kerana mereka kadang-kadang bukan hanya menggunakan nama tetapi digunakan untuk mendapatkan perolehan atau wang yang banyak kerana menggunakan nama pihak tertentu.
“Sebagai contoh, dalam memproses sesuatu perkara mereka perlu membayar kepada pihak tertentu sebahagian yuran dan tuntutan tersebut untuk pegawai kerajaan yang berkaitan,” jelasnya.
Jelasnya, di bawah undang-undang SPRM, orang tengah yang membuat tuntutan rasuah adalah juga satu kesalahan yang serius.
Ketika ditanya mengenai masalah rasuah berkaitan diesel yang menyebabkan kerugian yang besar kepada negara, jelasnya, ketirisan, penipuan dan tindakan yang diambil oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap dasar serta subsidi daripada kerajaan menyebabkan kerajaan kerugian sehingga berbilion ringgit.
“Dengan itu, kita telah meminta kepada kerajaan untuk melihat semula proses dan kaedah pemberian diesel ini.
“Pada prinsipnya kerajaan telah bersetuju dengan melihat semula dan saya rasa perkara ini telah mencapai tahap di mana perubahan akan dibuat secara terperinci dan kita serahkan kepada kerajaan untuk menjelaskan perkara ini,” tambahnya.
Menyentuh mengenai kerjasama bersama komuniti Cina dan SPRM, jelasnya, pihaknya telah menyebarluaskan kerjasama dengan meminta pemimpin komuniti itu memanjangkan proses pendidikan dan hubungan dengan mereka.
Tambahnya, SPRM berharap selain memberi penekanan kepada pegawai kerajaan daripada kajian yang dilaksanakan, pihaknya mendapati terdapat keperluan untuk memberi maklumat yang tepat dan pemahaman dari segi undang-undang kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Turut hadir Ahli Penasihat SPRM Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengarah SPRM Sarawak Datuk Bahri Mohamad Zin, Presiden Persatuan Ketua Masyarakat Cina Bahagian Kuching Temenggung Lu Kim Yong, ketua-ketua komuniti Cina dan pegawai SPRM.