Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Status halal produk Cadbury tetap diragui

$
0
0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Masyarakat Islam masih waswas meskipun produk disah tidak mengandungi DNA babi

KUCHING: Rata-rata masyarakat Islam di bandar raya ini masih melahirkan rasa waswas terhadap kandungan dua produk Cadbury meskipun ia telah disahkan tidak mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi.

Tidak kurang juga yang berpendapat perkara yang melibatkan isu halal haram di negara ini seolah-olah dipermainkan dan tidak diambil perhatian oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Peniaga kek lapis Mohd Zairee Zainal Abidin, 44, berkata pihak bertanggungjawab sepatutnya lebih peka dalam menentukan kandungan setiap makanan yang dijual kepada pengguna serta menyeragamkan konsep ujian makanan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Kami sebagai pengguna berasa seolah-olah dipermainkan. Sekejap kata ada DNA babi, sekejap kata tiada DNA babi. Sekarang saya sendiri tidak tahu kenyataan manakah yang perlu dipercayai.

“Sebagai contoh, kalau benar dua produk yang awalnya dikatakan ada DNA babi dan sekarang tidak ada lagi, apa kata buktikan pada kami seluruh masyarakat Islam khususnya, dengan memakan produk itu secara langsung dari kaca televisyen untuk membuang keraguan kami,” katanya ketika ditemui.

Selain itu jelasnya, kini dia dan seluruh ahli keluarganya beranggapan dua produk berkenaan sebagai makanan syubhah (antara halal dan haram yang tidak jelas akan hukum sebenar) serta tidak akan memakannya lagi pada masa depan.

Sementara itu, Fareen Farina Waida Suria, 19, pula berpendapat, sekiranya produk coklat susu itu dikilangkan di Malaysia, isu halal haram kandungan itu berkemungkinan tidak akan timbul sekali gus tidak menjejaskan kepercayaan pengguna.

“Produk yang diuji dan sah mengandungi DNA babi itu merupakan produk yang diambil dari Langkawi, kawasan bebas cukai di mana kebanyakan produk tenusu yang dijual di sana adalah dikilangkan dari negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan sebagainya.

“Justeru, kita tidak boleh menyalahkan penjual semata-mata. Kita sebagai pengguna harus bijak mengenal pasti kandungan setiap makanan yang dibeli dan tidak hanya mengejar harga murah sahaja,” ujarnya.

Fareen menambah, keselamatan sesuatu produk makanan itu akan dapat dipastikan melalui pemantauan pihak bertanggungjawab dalam negara ini dan tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada produk makanan yang diimport dari luar.

Manakala menurut Zuraidah Chee, 38, kandungan DNA babi yang dikesan pada dua produk Cadbury seperti yang telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini tidak perlu ditarik semula statusnya.

“Saya hairan kenapa mereka (JAKIM) perlu bermain dengan isu halal haram ini kerana ia merupakan perkara yang sangat penting terutama bagi masyarakat Islam di seluruh negara ini.

“Pada pendapat saya, sekiranya ia telah diharamkan pada awalnya, kekalkanlah status itu dan tidak perlu menukarnya semula kepada status halal kerana ia langsung tidak membantu memperbaiki semula keraguan pengguna terhadap produk berkenaan,” katanya.

Malah dia mahupun masyarakat Islam yang lain akan terus melahirkan perasaan was-was untuk menggunakan produk susu itu pada masa akan datang disebabkan kesilapan teknikal yang pernah dilakukan oleh pihak bertanggungjawab, ujarnya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859