MIRI: Seramai 200 orang termasuk kanak-kanak sekitar Miri menceriakan jerayawara anjuran Piasau Animal Welfare Support (PAWS) dan Persatuan Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS) Miri.
Program yang selama dua hari itu berlangsung di MYY Mall itu bertujuan memupuk kesedaran terutama kalangan kanak-kanak kecil tentang kebajikan haiwan.
Menurut pengerusi penganjur Natascha Caldenhove, pihaknya amat berbangga dengan sambutan hangat daripada orang ramai dan program itu telah mencapai objektif.
“Kami sangat berbangga dengan sambutan hangat daripada orang awam dalam setiap pengisian program,” katanya di sini semalam.
Antaranya adalah sesi foto bersama reptilia, persembahan peragaan, sesi soal jawab tentang haiwan peliharaan anjing dan kucing serta lukisan muka.
Sambil dihiburkan oleh badut dengan belonnya, kanak-kanak turut melihat pelbagai gerai jualan garaj, haiwan peliharaan angkat dan jualan murah barangan tertentu.
“Kami berasa gembira kerana gerai haiwan peliharaan angkat telah mempertemu empat anak anjing dengan pemilik baharu yang bakal menjaga serta menyayangi mereka,” katanya.
Natascha berkata PAWS turut mengharapkan program seumpama itu akan diteruskan pada masa depan.