MIRI: Sebanyak 19 kes demam denggi dilaporkan pada April iaitu jumlah yang tertinggi dicatat setakat ini di sini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai memberitahu jumlah dilaporkan meningkat sebanyak lapan kes berbanding sebelas kes dilaporkan pada Mac lalu.
“Kita mempergiat kempen gotong-royong membendung masalah ini. Kita juga memperluas kempen kesedaran mendidik penduduk tentang bahaya demam denggi,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MBM di sini semalam.
Sebanyak 17 kes pernah dilaporkan pada Januari melibatkan seluruh kediaman di Miri tetapi menunjukkan penurunan sebanyak lima kes pada bulan berikutnya.
Antara faktor utama penularan kes ini kurangnya pemahaman penduduk tentang pembiakan nyamuk membantutkan usaha pembasmian.
Penduduk masih berharap kepada pengasapan nyamuk sedangkan cara terbaik pembasmian dengan menjaga kebersihan kawasan kediaman mereka.
Pengasapan nyamuk hanya dilakukan ketika pihak berkuasa menerima laporan wabak denggi.
Cara paling efektif memberhentikan pembiakan nyamuk aedes dengan menghapuskan larva atau telur nyamuk.
Mengulas isu lain, Lawrence berkata aduan terhadap perkhidmatan pembuangan sampah syarikat kontraktor juga meningkat dari 11 aduan pada Mac lalu meningkatkan kepada 31 aduan pada April.
Kegagalan syarikat kontraktor mengutip sampah mengikut jadual yang ditetapkan menyebabkan masalah longgokan sampah dan bau di kawasan kediaman.
Tentang aduan kebersihan restoran dan kedai kopi, orang awam boleh menghubungi Jabatan Kesihatan menerusi talian 085-422234.
Sebanyak tujuh kedai kopi dan restoran di beberapa kawasan komersil di sini diarah tutup selama 14 hari oleh jabatan berkenaan kerana gagal mematuhi peraturan kebersihan dan penyediaan makanan.