Oleh Siti Aisyah Ramli //
Cara paling mudah, jimat untuk warga kota pulang ke kampung halaman menjelang musim perayaan

BALIK KAMPUNG: Para penumpang mengatur bagasi sebelum menaiki bas menuju ke kampung halaman masing-masing.
KUCHING: Suasana di Terminal Kuching Sentral semalam menyaksikan warga kota memenuhi ruang menunggu dan kaunter tiket seawal jam 9 pagi.
Ia jelas memperlihatkan warga kota masih memilih perkhidmatan bas sebagai pengangkutan paling mudah dan jimat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan.
Tinjauan Utusan Borneo mendapati kebanyakan warga kota yang ingin pulang ke kampung telah membeli serta menempah tiket bas lebih awal dari tarikh perjalanan sebenar bagi menyambut perayaan Hari Gawai Dayak, esok.
Elvison Abat, 18, yang ingin pulang ke kampung halamannya di Kampung Kanka, Lundu berkata, dia membeli tiket bas sejak dari Isnin minggu lepas.
“Saya sudah biasa dengan keadaan apabila tiket bas habis dijual, jadi untuk mengelak masalah seumpama itu, saya telah membeli tiket bas lebih awal untuk perjalanan pulang ke kampung hari ini (semalam).
“Selain itu, sambutan Gawai merupakan perayaan yang saya tunggu kerana masa inilah saya dapat mengambil cuti lebih lama iaitu selama seminggu untuk pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui.

PEMERIKSAAN BERKALA: Pegawai Pemeriksa Kereta Motor (PKM) JPJ Artisa Mohammad memeriksa keadaan tayar bas sebelum bas bergerak ke destinasi yang hendak ditujui.
Elvison menambah, perasaan terujanya untuk kembali menemui sanak saudara dan ahli keluarga yang lain semakin memuncak apabila mengetahui keluarganya di kampung kini sedang giat membuat persiapan terakhir sebelum menyambut perayaan Gawai pada Ahad ini.
Sementara itu, Sofia Arissa Joseph, 16, berkata tahun ini merupakan tahun yang ditunggu-tunggu buatnya dan keluarga kerana sambutan Gawai disambut di kampung halaman sebelah bapanya iaitu di Sungai Pelanduk Paku, Spaoh.
“Saya dan keluarga hanya balik ke kampung setahun sekali iaitu pada Hari Gawai dan pada tahun ini, giliran kampung bapa saya menjadi destinasi percutian kami untuk menyambut Gawai.
“Kami memang memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres kerana ia mudah dan jimat selain inilah peluang untuk menikmati pengalaman pulang ke kampung halaman bersama masyarakat lain,” ujarnya.
Menurutnya, dia dan abangnya bersekolah di Kuching kerana mengikut ibu dan bapanya yang bekerja di bandar raya ini.
Walau bagaimanapun, keadaan sesak di Kuching Sentral masih terkawal dengan kehadiran beberapa pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilihat memeriksa keadaan bas, pemandu bas dan penumpang.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa JPJ Airwan Ismawi, pasukan pemeriksa JPJ telah dikerah untuk memeriksa keadaan bas sejak sebelum ini, namun pihaknya menggandakan pemantauan lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
“Sememangnya memeriksa keadaan bas atau apa jua pengangkutan awam memang menjadi tugas rutin kami (JPJ), tetapi memandangkan musim perayaan Gawai kini sudah semakin hampir, kami telah menggandakan pemeriksaan dan pemantauan dengan lebih ketat bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
“Kebiasaannya apa yang kami utamakan dalam pemeriksaan ialah keadaan tayar bas, kapasiti penumpang serta keadaan pemandu bas itu sendiri.
“Manakala, untuk perjalanan lebih dari tiga jam, setiap bas diwajibkan untuk mempunyai dua pemandu bertujuan untuk mengambil giliran memandu,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini, syarikat perkhidmatan bas sentiasa memberikan kerjasama yang begitu baik dengan JPJ dan berikutan itu juga JPJ tidak mempunyai sebarang masalah ketika menjalankan kerja pemeriksaan.