
AMANAT: Mawan ketika menyampaikan ucapan semasa berkunjung ke Rumah Unsa Jagoi Lama, Pakan kelmarin.
Miliki jalan raya, terima bekalan air, elektrik serta dapat dihubungi menerusi gelombang telekomunikasi
PAKAN: Kehidupan masyarakat Iban yang tinggal di rumah panjang kini sebenarnya sudah jauh lebih baik berbanding sebelumnya kata Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.
Katanya hampir keseluruhan rumah panjang kini turut mempunyai jaringan jalan raya, menerima bekalan air dan elektrik serta dapat dihubungi menerusi gelombang telekomunikasi.
Selain itu, reka bentuk beberapa rumah panjang di kawasan pinggir bandar dan pedalaman ujar beliau, juga sudah berubah dan lebih moden seolah-olah seperti kawasan perumahan di bandar.
“Secara keseluruhan ini adalah satu kemajuan bagi kita penduduk rumah panjang.
“Ini juga membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan hak dan keperluan kita walaupun tinggal jauh dari kawasan bandar,” ujarnya.
Mawan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Unsa Jagoi Lama, Pakan kelmarin.
Pun begitu katanya, rakyat harus faham untuk menyediakan atau merangka sebarang aktiviti pembangun untuk dimanfaatkan rakyat, kadang-kadang memerlukan masa.
Menurut Mawan, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor sama dari segi kewangan atau kesan buruk yang mempengaruhi kehidupan rakyat.
Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan dan Ahli Parlimen Saratok menjelaskan, lambat atau tidak apa yang penting pembangunan tetap ada.
Katanya rakyat yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan pedalaman tidak harus mudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
Sebaliknya rakyat harus terus berdiri teguh di belakang kepimpinan kerajaan yang ada sekarang.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk mempermudahkan kehidupan rakyat.
Ini termasuk mewujudkan pelbagai program sama ada untuk membangukan ekonomi ataupun memperbaiki taraf hidup rakyat.