KUCHING: Warga kota dialu-alukan memeriahkan Hari Biodiversiti bersama Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) pada 24 dan 25 Mei ini.
Sambutan itu turut sama diisi dengan pelbagai aktiviti sebagai pengisian utama di premis SBC, Kilometer 20 bermula jam 9 pagi hingga 5 petang (kedua-dua hari).
Pengisian yang diadakan sepanjang sambutan itu merangkumi aktiviti pengalaman sains, demonstrasi penggunaan tradisional tumbuhan, lawatan taman, jualan baja tumbuhan, lawatan ke cawangan utama premis baharu SBC dan ceramah kesedaran.
Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dijangka akan merasmikan sambutan itu.
Sebarang maklumat mengenai aktiviti yang diadakan sepanjang sambutan itu boleh dilayari melalui alamat sesawang SBC di: www.sbc.org.my.
Hari Biodiversiti itu turut mendapat kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang diadakan bertujuan mempromosi hasil kerja SBC dan SFC yang memberi banyak pendedahan mengenai keunikan biodiversiti yang terdapat di Pulau Borneo.
Guru dialu-alukan hadir bersama anak murid sebagai galakan serta pengetahuan terhadap ilmu sains menerusi aktiviti dan ceramah yang diadakan.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Constance Vanessa Victor atau Ha-Mim Marzuki di talian 082-610610 atau hantarkan e-mel ke alamat: biosar@sbc.org.my.