KUCHING: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mempunyai kuasa menahan sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempadan Sarawak-Kalimantan sebelum diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.
Demikian ujar Menteri Sumber Manusia merangkap Pesuruhjaya 3 Bintang RELA Sarawak Datuk Seri Richard Riot Jaem semalam.
“Sepuluh tahun yang lepas ramai yang menghina, mentertawa dan mencaci anggota RELA sewaktu menjalankan tugas mereka.
“Namun kini RELA bukan sekadar mata dan telinga kerajaan tetapi mempunyai kuasa menahan sementara penceroboh di sempadan Sarawak-Indonesia sebelum diserahkan kepada ATM atau PDRM untuk tindakan lanjut.
“Namun ramai anggotanya cekal serta berdedikasi dalam menjalankan tugas termasuk berkawal di persempadanan Sarawak-Kalimantan,” katanya ketika berucap pada Majlis Gerak Kerja Turun Padang dan Perjumpaan Golongan Sasar di Dewan Serba Guna Kampung Mantung Mara-u, Serian petang kelmarin.
Tambah beliau, pada 28 Ogos tahun lepas, RELA telah menjadi jabatan persekutuan dan dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan geran peruntukan sebanyak RM50,000 bagi semua anggota RELA daerah Serian untuk membeli Pakaian Operasi Digital (POD).
Riot mahu anggota RELA aktif, bersemangat dan gigih dan telah memohon perkhidmatan Pesuruhjaya RELA Sarawak Rini Tupong dilanjutkan untuk dua tahun lagi.
Setakat ini, anggota RELA Daerah Serian merupakan yang teramai berdaftar dengan keanggotaan seramai 11,713 orang daripada 229,00 anggota RELA berdaftar di seluruh Sarawak.
“Saya percaya dengan peruntukan ini, maka ia akan menaikkan semangat para anggota dan jumlah keahlian RELA di Serian juga akan bertambah,” katanya.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM110,000 untuk kerja-kerja menaik taraf Dewan Terbuka Mantung Mara-u dan pembinaan gereja Katolik di kampung berkenaan.
Sementara itu, RM10,000 turut diberikan kepada Persatuan Kaum Ibu Kampung Mantung Mara-u.
Sementara itu Riot enggan mengulas lanjut mengenai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) namun menghormati keputusan mereka yang menyertai parti berkenaan.
Beliau turut menyaksikan kawat senyap dan seni silat RELA yang dijayakan oleh lebih kurang 250 anggota RELA daerah itu kelmarin.