
INI DIA: Jabu (kanan) menunjukkan ucapan penggulungan kementeriannya ketika tiba di Kompleks DUN bagi menghadiri hari terakhir Persidangan DUN semalam. Turut kelihatan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh.
Ia peruntukan KKLW kepada S’wak untuk projek-projek JALB, BALB, BELB, PBR dan Program Desa Lestari
KUCHING: Sejumlah RM865.8 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kepada Sarawak pada tahun ini untuk meningkatkan lagi liputan kemudahan asas.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata ia merangkumi Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Program Bantuan Rumah (PBR) dan Program Desa Lestari.
Beliau menambah, jumlah yang diperuntukkan bagi JALB adalah RM238 juta, BALB RM170.4 juta, BELB RM392.4 juta, PBR RM50 juta dan Program Desa Lestari RM15 juta.
Dalam pada itu, Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata bagi menjayakan Program Desa Lestari, kerajaan telah meluluskan empat kampung iaitu Kampung Tellian di Mukah, Kampung Stass di Kuching, Kampung Tanjung Parang di Samarahan dan Kampung Long Bedian di Miri.
“Kampung-kampung tersebut dipilih kerana memenuhi kriteria seperti cemerlang dan berpotensi untuk dimajukan, mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus belia/kumpulan produktif daripada jumlah penduduk kampung dan mempunyai aktiviti ekonomi yang berdaya maju serta masyarakat kampung yang positif terhadap pembangunan, lokasi yang strategik serta mempunyai kelebihan yang unik, tiada masalah sosial yang serius serta keadaan sosiopolitik yang stabil dan persekitaran yang indah serta mempunyai nilai tradisi dan kebudayaan yang unggul,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Jabu berkata dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, sepanjang 176.65 kilometer projek JALB telah siap dibina dan dinaik taraf.
Manakala bagi PBR, katanya kerja-kerja awalan sedang giat dilaksanakan.
Menurut Jabu, sejak 2010 hingga 2013, sepanjang 1,100.87 kilometer projek JALB termasuk projek Jalan Perhubungan Desa dengan kos RM2.20 bilion telah siap dibina atau dinaik taraf melebihi sasaran awal sepanjang 1,022.69 kilometer atau 107.64 peratus.
“Pelaksanaan projek ini telah memberi manfaat kepada 812,208 pengguna dalam tempoh tersebut,” katanya.
Dalam tempoh sama, Jabu berkata di bawah PBR, sejumlah 26,716 unit rumah telah dibina dan dibaik pulih dengan kos berjumlah RM430.1 juta.
Tambah beliau, seramai 133,580 orang miskin dan miskin tegar telah menerima manfaat daripada program tersebut.
Angka tersebut, katanya menunjukkan pencapaian prestasi yang cemerlang iaitu 151.56 peratus atau lebihan 9,089 unit rumah berbanding sasaran awal 17,627 unit.