KUCHING: Kerajaan akan mempertimbangkan secara serius pindaan ke atas Kanun Tanah bagi membolehkan tanah Hak Tanah Bumiputera (NCR) dipindah milik antara Bumiputera. Ini kerana menurut Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, kerajaan percaya bahawa sebarang adat yang menghalang kebolehpasaran tanah NCR akan mengurangkan nilai tanah NCR dan menjejaskan Bumiputera.
Bagaimanapun jelas Adenan, sebarang perubahan ke atas undang-undang harus tidak melumpuhkan keyakinan orang awam dan pelabur terhadap sistem pentadbiran tanah negeri ini.
“Sebarang pindaan tidak seharusnya menimbulkan isu-isu, membebankan serta menjejaskan sebarang prosiding di mahkamah.
“Jika pindaan ke atas undang-undang akan menjejaskan hak yang diperoleh secara sah daripada pihak lain, ia akan menyebabkan kepelbagaian masalah undang-undang dan kesan buruk kepada ekonomi negeri,” kata Adenan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan DUN di Kompleks DUN di sini semalam.
Dalam penggulungannya Adenan turut menyangkal tuduhan bahawa kerajaan tidak membayar pampasan yang mencukupi bagi tanah NCR yang diperlukan untuk tujuan awam.
Untuk rekod, dari 2012 hingga Ogos 2013, kerajaan telah membayar pampasan berjumlah RM49,935,560.13 kepada 3,681 penuntut tanah NCR bagi pelaksanaan 152 projek pembangunan.
Bagi kes Bakun dan Murum, kerajaan menurut Adenan telah membayar ratusan juta ringgit bagi membayar ganti rugi ke atas kehilangan tanah NCR mereka.
“Kerajaan negeri mengiktiraf perkara ini berpandukan Artikel 13, Perlembagaan Persekutuan iaitu pampasan mencukupi mesti dibayar bagi tanah yang wajib diambil bagi tujuan awam mengikut undang-undang.
“Dewan yang mulia ini boleh yakin pampasan yang adil dan mencukupi akan dibayar untuk semua tanah NCR yang diperlukan bagi tujuan awam,” jelas Adenan.
Menyentuh mengenai pembangunan Sarawak, Adenan berkata membangunkan Sarawak dengan keluasan sebesar Semenanjung Malaysia pastinya mengundang banyak cabaran.
Tidak dinafikan bahawa Sarawak telah mencapai kemajuan namun masih terdapat jurang pembangunan antara Sarawak dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Meskipun kerajaan pusat bersimpati dengan permintaan kita bagi mendapatkan peruntukan pembangunan yang besar, namun masih banyak yang perlu dilakukan termasuk mencari pelbagai sumber peruntukan yang lain.
“Sebab itu, kita perlu meletakkan pendekatan yang berbeza bagi mempercepatkan pembangunan di Sarawak.
“Pendekatan ini akan digabungkan dalam persediaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), di mana penglibatan intensif di pelbagai peringkat dengan kerajaan pusat akan dilakukan,” ujar Adenan.