
BERBISA: Anggota JPAM Limbang menunjukkan ular tedung hitam yang ditangkap di Kampung Limpaong, petang kelmarin.
LIMBANG: Seekor ular tedung berwarna hitam sepanjang lebih tiga meter berjaya ditangkap di Kampung Limpaong oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), petang kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam JPAM Limbang Leftenan Muda Subuh Posa berkata, anggotanya bergegas ke kampung itu selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 petang mengenai penemuan reptilia berbisa itu.
“Ular itu berjaya ditangkap pada kira-kira jam 4 petang di dalam parit di luar sebuah rumah penduduk kampung itu,” jelasnya.
Beliau berkata, seramai empat anggota JPAM diketuai oleh Shahroni Osman dan tiga anggota lain menangkap reptilia berkenaan menggunakan alat menangkap ular.
“Kita berjaya menangkap ular itu dengan pantas bagi mengelak ia memasuki kediaman penduduk,” katanya.
Jelas beliau, sepanjang Januari hingga Mei ini, JPAM telah menangkap lebih 10 ekor ular termasuk reptilia kelmarin yang disifatkan paling besar pernah ditangkap sejak awal tahun ini.
Subuh turut gembira dengan sambutan dan maklum balas masyarakat setempat yang ingin mendapatkan perkhidmatan daripada JPAM Limbang sejajar dengan matlamat jabatan itu untuk memperkenalkan JPAM kepada masyarakat sebagai sebuah jabatan dan agensi pertahanan awam unggul dalam pengurusan bencana sejajar dengan misinya.
Selain operasi menangkap ular, katanya, JPAM turut menjalankan pelbagai perkhidmatan termasuk mengadakan latihan kepada orang awam, keselamatan di tempat tinggal, bantuan pernafasan dan penekanan dada (CPR), perubatan dan operasi lain.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi JPAM Limbang menerusi talian 085-210471 bagi mendapatkan perkhidmatan kecemasan.