KUCHING: Seorang budak pejabat kini dalam dilema kerana bakal diambil tindakan oleh pihak syarikat selepas beg sandangnya yang mengandungi wang tunai RM7,000 milik majikannya diragut semalam.
Mangsa berusia 20-an itu semasa kejadian dikatakan baharu tiba di pekarangan sebuah bank di Jalan Abell di sini sekitar jam 11.30 pagi.
Menurut sumber, dua lelaki tidak dikenali menghampirinya dari belakang dan terus meragut beg sandangnya itu sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan menunggang sebuah motosikal.
Selain wang tunai milik majikannya, turut terdapat di dalam beg mangsa ialah buku bank, serta beberapa dokumen peribadi.
Laporan polis telah dibuat oleh mangsa selepas itu di balai polis berhampiran.
Sementara dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki tampil membuat laporan polis mendakwa dirompak di pusat komersil di Jalan Rubber di sini, pagi kelmarin.
Difahamkan, semasa kejadian mangsa yang berusia 25 tahun itu didatangi seorang lelaki yang kemudian terus menarik bajunya dan mengacukan sebilah pisau ke lehernya.
Suspek tersebut kemudian meminta mangsa menyerahkan barang berharga kepadanya sekiranya tidak mahu dicederakan.
Mangsa yang risau akan keselamatannya kemudian menyerahkan wang RM150 kepada suspek sebelum dia beredar dari tempat kejadian.