Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Tiada bekas Border Scout, polis dipinggir

$
0
0

Oleh Clare Cinderella //

Mereka yang sukar dikesan diminta serah maklumat kepada balai polis terdekat

MIRI: Kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana bekas anggota polis yang pernah berkhidmat pada zaman darurat di seluruh negara termasuk anggota Border Scout di Sarawak, untuk diberi penghargaan dan pingat atas jasa mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tidak kurang daripada 146,000 anggota polis pernah berkhidmat pada zaman darurat dari 1948 hingga 1990 sebagai anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxiliary Police Constable, North Borneo Armed Constable, Sarawak Constabulary dan Border Scout di Sarawak serta Polis Diraja Malaysia.

Katanya jika mereka pernah berkhidmat dalam mana-mana pasukan di atas maka nama mereka ada dalam senarai dan tidak menjadi satu masalah bagi mereka untuk menerima pingat dan nama mereka pastinya akan dipanggil juga kelak.

“Bagaimanapun bagi mereka yang sebelum ini menganggap tidak diendah atau dipinggirkan dan tidak yakin nama mereka dalam senarai tersebut, mereka boleh tampil untuk memberikan nama dan butiran peribadi sendiri kepada mana-mana cawangan badan atau persatuan bekas polis yang berhampiran.

“Mereka juga boleh datang untuk menyerahkan maklumat mereka kepada balai-balai polis berdekatan, bukan sahaja di seluruh negeri Sarawak tetapi di seluruh negara termasuk di Sabah dan ini termasuk anggota yang sukar dikesan,” katanya.

Menurut Wan Junaidi di Sarawak, golongan yang paling payah dicari dan dikesan ialah bekas-bekas Border Scout, yang banyak berjuang dan terkorban pada zaman darurat.

“Ini kerana anggota Border Scout ini, selepas ditamatkan perkhidmatan mereka, ramai yang duduk di rumah-rumah panjang dan kampung-kampung yang terpencil,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata beliau juga sedang mengesan anggota polis dan waris mereka yang telah terkorban dalam perjuangan menentang komunis terutama tragedi Balai Polis Siburan yang pernah digempur pada 1962 dan Balai Polis Limbang turut diserang pada zaman pemberontakan Brunei yang mengorbankan nyawa empat pegawai polis.

“Ketika ini kami sedang menyenaraikan nama-nama mereka ini, bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Sabah dan Semenanjung Malaysia dan mereka ini dikehendaki berhubung dengan pihak yang dinyatakan tadi,” jelasnya.

Wan Junaidi berkata beliau juga akan mengarahkan pejabat Ketua Polis Negara (KPN) memaklumkan mengenai maklumat tersebut kepada semua balai polis di seluruh negara, supaya mereka dapat menyampaikannya kepada mereka yang terbabit dan unit veteran polis.

Beliau memberitahu perkara itu pada sidang media di sini semalam, ketika ditanya mengenai rintihan anggota-anggota polis terutama yang berpangkat rendah, mengadu perjuangan mereka tidak pernah dihargai dan dipanggil untuk menerima sebarang pingat, walaupun ada yang hampir terkorban, seperti yang pernah dicerita dan dipaparkan di media-media tempatan.

Terdahulu, beliau menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara, yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Junaidi memberitahu, semua mereka yang dipanggil untuk menerima pingat jasa berkenaan, akan dibiayai oleh KDN dari segi pengangkutan, penginapan dan kos membeli pakaian rasmi untuk menghadiri majlis istiadat berkenaan. Manakala pihak polis menyediakan senarai nama mereka.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>