KUCHING: Aktiviti menanam sayur mungkin hanya dianggap sebagai hobi bagi sesetengah orang, namun jika ia diusahakan secara komersil, ia mampu menambah pendapatan.
Apatah lagi sayur-sayuran yang dipetik itu terus dihantar ke pasar basah atau pasar tani bagi mengekalkan kesegarannya, sekali gus pasti mendapat permintaan tinggi.
Misalnya di Sungai Apong di sini, terdapat kawasan Sungai Apong Community Farmlet yang membolehkan pekebun menghantar terus hasil ke Pasar Sungai Apong berdekatan.
Bukan sahaja di bawah projek berkenaan, terdapat juga individu yang mula menunjukkan minat bertani secara kecil-kecilan yang mampu memberi pulangan kepada mereka.
Seorang pekebun kecil, Dawas Jandar pada mulanya menganggap menanam sayur-sayuran sebagai mengisi masa lapang, namun kini juga menjadi sumber pendapatan kepadanya.
Ujar Dawas, meskipun hanya mampu meraih pendapatan sekitar RM200 sebulan hasil tanamannya, namun dia tetap bersyukur kerana ia membolehkannya dan isteri membeli keperluan harian.
Dawas menceritakan, dia yang telah terlibat dengan aktiviti menanam sayur sejak empat tahun lalu kini menanam pelbagai sayuran seperti labu putih, kacang panjang, kacang bendi, ubi, jagung, kangkung dan banyak lagi.
Katanya, tanah untuk dua lot rumah itu merupakan milik seorang peniaga yang memintanya untuk menjaga kawasan terbabit.
“Namun saya meminta izin (pemilik) supaya menggunakan tanah ini untuk bercucuk tanam daripada membiarkan ia kosong sahaja.
“Saya telah bermula dalam aktiviti berkebun ini sejak empat tahun lepas. Saya mampu menjual lingkungan RM20 atau RM30 pada satu-satu masa,” ujarnya ketika ditemui Utusan Borneo di Sungai Apong di sini, semalam.
Dawas, 60, sebelum ini pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta bagaimanapun telah berhenti memandangkan usianya yang semakin meningkat.
“Saya terpaksa berhenti bekerja sebagai pengawal keselamatan memandangkan usia saya sudah lanjut dan tidak sesuai lagi untuk pekerjaan berkenaan,” jelasnya.
Dawas menjelaskan, selain menjual hasil tani ke Pasar Basah Sungai Apong, dia turut menjual sayurannya di sekeliling kampung.
“Namun, ada juga yang datang sendiri ke kebun saya untuk membeli hasil sayuran yang saya tanam.
“Saya tidak menggunakan racun untuk menjaga tanaman sebaliknya menggunakan baja yang asli bagi memberi kesegaran kepada hasil tanaman,” katanya yang sudah tinggal di Sungai Apong sejak lebih 10 tahun lalu.
Bagi lelaki yang berasal dari Serian itu, untuk menambahkan lagi pendapatannya dia terus berusaha mempelbagaikan tanaman bagi memberi pilihan kepada pelanggannya.
Katanya, dari situ ia pasti akan menambah hasil pendapatan sedia ada dan antara sayuran baharu yang sedang diusahakan kini ialah Terung Dayak.
“Saya baharu sahaja mula menanam Terung Dayak dan berharap ia mendatangkan hasil kerana saya melihat terdapat juga permintaan untuk sayur ini,” katanya.