KUCHING: Nilai perpaduan harus dipupuk daripada peringkat awal lagi bagi melahirkan generasi baharu yang bersatu serta mempunyai sikap toleransi kata Penolong Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Hilman Jack Usli.
Beliau berkata antara langkah produktif bagi menjurus ke arah perpaduan sejagat ialah melalui penglibatan masyarakat dalam program-program Rukun Tetangga.
“Perpaduan harus menjadi teras dalam kehidupan seharian terutama dalam sesuatu komuniti.
“Justeru, penganjuran program-program yang melibatkan generasi daripada pelbagai peringkat umur adalah bertepatan dengan hasrat kita untuk memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan kesatuan masyarakat setempat,” katanya.
Menurutnya, masyarakat tidak harus berasa selesa dengan suasana kehidupan pada masa kini memandangkan ancaman perpaduan sentiasa ada dalam cabaran kehidupan.
“Perpaduan merupakan aset utama dalam memastikan kestabilan serta kelancaran terutama bagi mengurus tadbir sesebuah jentera pentadbiran negara.
“Pada masa sama, jangan berasa begitu selesa dengan kedudukan kita sekarang kerana kita harus sedar akan kewujudan ancaman perpaduan dalam cabaran hidup semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Karnival Keluarga Samariang Aman 2013, di pekarangan Taman Rekreasi Samariang Aman, di sini semalam.
Sebanyak 643 rumah di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Samariang Aman merangkumi fasa satu hingga empat.
Pada hari karnival itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk Pertandingan Mewarna, Pertandingan Menganyam Ketupat, sukaneka, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri, karaoke dan banyak lagi.
Hadir sama ialah Pengerusi KRT Samariang Aman Dennis Nur Amin, ahli jawatankuasa KRT, serta penduduk Samariang Aman.