KUCHING: Bayi merengek mahukan susu menyelamatkan ahli keluarganya dalam satu kebakaran di Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya di sini lewat malam kelmarin.
Demikian menurut Rozana, 27, ibu kepada bayi lelaki berkenaan yang dianggap sebagai ‘wira’ apabila rengekan itu menyebabkan dia terjaga sekali gus menyedari rumah mereka terbakar sekitar jam 12 tengah malam.
Difahamkan, bapa kepada bayi berkenaan yang hanya dikenali sebagai Iskandar, 27, kemudian segera mengejutkan ahli keluarganya yang lain di samping cuba untuk memadamkan kebakaran tersebut.
“Baby (bayi) merengek kerana mahukan susu. Ketika itu juga saya terhidu bau asap dan menyuruh suami saya pergi periksa keadaan di dalam rumah sebelum kami menyedari asap mula memenuhi ruang bilik tidur kami.
“Saya dan baby segera keluar dari dalam rumah, manakala suami saya pergi menyelamatkan ahli keluarga yang lain dan bersyukur sebab kami semua sempat menyelamatkan diri sebelum api semakin marak,” kata Rozana.
Menurutnya, dia dan suami serta anaknya tinggal bersama keluarga suaminya di Kampung Pulo Ulu sejak tiga hari lalu kerana mengikuti perubatan tradisional selepas bersalin.
Selain Rozana dan Iskandar, turut tinggal di rumah berkenaan ialah datuk dan nenek suaminya bersama bapa saudara dan isteri serta seorang anak.
Ekoran itu, Iskandar dan bapa saudaranya telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana mengalami sesak nafas serta kecederaan ringan.
Seramai 23 anggota dari Balai Bomba Petra Jaya dan Tabuan Jaya bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan di mana sebuah rumah dua tingkat separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).