Laporan oleh Agnes Tugong, Jessica Jawing, Nick Fletcher, Sandy Mark Luna, Hamimi Kassim, Siti Aisyah Ramli //
Ia akan dibentangkan secara formal kepada kerajaan persekutuan pada masa yang sesuai, kata Mawan
KUCHING: Sarawak tidak terus ‘menyalak’ meminta kenaikan royalti minyak dan gas daripada lima peratus kepada 20 peratus, sebaliknya permohonan itu akan dilakukan secara teratur mengikut saluran yang sewajarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, perkara yang sering dibincangkan itu kali ini akan dibentangkan secara formal kepada kerajaan persekutuan pada masa yang sesuai.
“Sememangnya kita mahu apa yang perlu menjadi milik kita patut diberikan kepada kita tetapi tidak bermakna kita akan terus ‘menyalak’ kerajaan persekutuan keesokan harinya.
“Kita akan mengemukakannya pada masa yang sesuai, secara formal, bukan secara mendesak.
“Jika kita mengendalikannya dengan baik, kerajaan persekutuan mungkin akan memberikan kita lebih daripada apa yang diminta,” katanya ketika ditemui di Lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul mengenai permohonan menaikkan 20 peratus royalti minyak dan gas kepada kerajaan persekutuan yang diluluskan oleh DUN pada Selasa.
Usul yang pada asalnya dikemukakan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) bagaimanapun telah dipinda oleh Abdullah Saidol (BN-Semop) serta disokong Snowdan Lawan (BN-Balai Ringin) yang mahu lebih banyak dana kepada Sarawak bagi menaik taraf infrastruktur pembangunan khasnya di kawasan desa.
Usul itu diluluskan ekoran 68 wakil rakyat pada persidangan bersetuju dan menyokong pindaan yang dibahaskan Abdullah itu.
Sarawak sehingga kini menerima royalti minyak dan gas sebanyak lima peratus iaitu kira-kira RM600 juta hingga RM900 juta.
Mawan yang juga Ahli Parlimen Saratok menjelaskan, permohonan kenaikan itu perlu dibuat secara baik bagi memelihara hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Kita perlu faham kedudukan kerajaan persekutuan. Tetapi pada masa yang sama kerajaan persekutuan juga perlu memahami kedudukan kita (kerajaan negeri)… hak kita,” katanya.