Oleh WB Ongie //
Demi masa depan mereka, generasi akan datang yang perlu pembangunan
MARUDI: Masyarakat Penan di kawasan Telang Usan diingat dan dirayu supaya kembali kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) demi masa depan mereka dan generasi akan datang yang memerlukan pembangunan serta perhatian kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau ketika mengingatkan demikian, memberi jaminan kepada mereka bahawa kerajaan dan wakil-wakil rakyatnya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dan pelbagai pembangunan jika mereka memilih untuk berhenti menentang kerajaan.
“Kembalilah kepada kerajaan BN, demi kebaikan pembangunan yang akan disalurkan kepada anda semua dan saya memberi jaminan bahawa pembangunan akan diberi kepada setiap perkampungan Penan dalam era kemajuan ini, lebih-lebih lagi apabila anda (kaum Penan) kembali menyokong kerajaan,” katanya.
Pada masa yang sama beliau turut menasihati kaum Penan supaya sentiasa bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memudahkan pentadbiran di kampung dan seterusnya kerjasama tersebut juga diberi kepada wakil rakyat BN yang sentiasa membela kebajikan masyarakat Penan.
“Kerana keprihatinan tersebut, maka kerajaan negeri telah melantik seorang menteri yang khusus untuk menjaga masyarakat Penan iaitu Menteri Muda Adat Bumiputera dan Hal Ehwal Penan Datuk John Sikie Tayai,” jelas beliau.
Dennis berkata demikian semasa berucap pada penyerahan peruntukan kerajaan kepada masyarakat Penan di Long Luteng, Ulu Baram, kira-kira sembilan jam perjalanan dari Miri.
Dalam perkembangan berkaitan, Dennis turut menasihati masyarakat Penan di Long Luteng supaya terus menolak pembangkang, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
Pada Pilihan Raya Umum yang lepas, BN kalah undi di Long Luteng dan kekalahan teruk BN di situ disebabkan isu Empangan Bakun yang disebarkan oleh pembangkang.
Menurut Dennis lagi, cadangan mengenai pembinaan empangan tersebut bukannya dibincangkan dalam masa sehari dua atau setahun sebaliknya mengambil masa bertahun-tahun lalu dan melalui pelbagai peringkat sebelum sebarang kelulusan dibuat.
Sementara itu, pada majlis tersebut, Dennis telah menyampaikan bantuan sebanyak RM3,000 bagi membiayai pelbagai projek oleh JKKK Long Luteng, RM3,000 untuk Biro Wanita Long Luteng dan RM5,000 lagi untuk Gereja SIB Long Luteng.
Dennis turut menyerahkan enam unit alat pemadam api kepada penduduk di Long Luteng bagi keperluan untuk memadam api dan mencegah kebakaran pada peringkat awal.