KUCHING: Status siapa yang betul atau salah antara dua puak yang bercanggah dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak harus dipersoalkan.
Sebaliknya, tegas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom, keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak membatalkan pendaftaran parti itu mesti dijadikan peluang kedua bagi kedua-dua pihak menyelesaikan masalah yang timbul.
Beliau berkata SUPP harus segera menyelesaikan kemelut yang berlarutan sejak lebih dua tahun lepas itu sebagai persediaan rapi sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan pada 2016.
“Selagi perbezaan mahupun kemelut yang timbul antara kedua-dua pihak itu masih belum diselesaikan, SUPP tidak akan menjadi sebuah parti yang kukuh.
“Sebagai persiapan menghadapi PRN pada 2016, SUPP harus menyelesaikan segala permasalahan yang ada dan duduk semeja sebagai satu pasukan yang kukuh serta memberi kepentingan kepada satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Pra-Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) BN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini semalam.
Menurut beliau, perdamaian kedua-dua pihak itu adalah langkah baik dalam meneruskan agenda pengukuhan parti terutama untuk berkhidmat kepada rakyat.
Bagaimanapun katanya, SUPP sebagai salah satu parti tertua di Sarawak harus menerima penghargaan atas kekuatan dalaman sedia ada bagi membantu parti terus bergerak seiring dengan arus pemodenan semasa.
“Saya berharap komponen BN Negeri yang dianggotai SUPP, PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan terus kukuh dalam membuat persiapan menghadapi PRN akan datang.
“Kita bukan risaukan kekuatan parti pembangkang, tetapi kita perlu berusaha untuk mengekalkan serta memperkukuhkan lagi kekuatan dan pengaruh parti kerajaan BN,” tegasnya.
Mengulas mengenai isu yang mungkin akan dibangkitkan sepanjang Persidangan DUN yang bermula hari ini, Rundi berkata, ia lebih menjurus kepada isu kemudahan awam dan infrastruktur.