KUCHING: Hasrat seorang wanita bersuka ria malam minggu terpaksa dilupakan apabila beg sandangnya diragut sebelum tiba di sebuah pusat hiburan di Jalan Green di sini, malam kelmarin (Sabtu).
Jurujual berkenaan hanya mampu tergamam apabila lelaki bermotosikal yang menghampirinya tiba-tiba bertindak meragut beg sandangnya mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM6,000.
Antara barangan yang terdapat dalam beg itu termasuk dokumen peribadi, iPhone dan wang tunai.
Bagaimanapun, mangsa yang berusia 24 tahun yang begitu terkejut dengan kejadian hampir tengah malam itu gagal mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek.
Dalam kes berasingan, seorang peguam mendakwa beg tangan miliknya dicuri ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di pusat bandar, di sini.
Insiden itu disedari sekitar jam 11 malam setelah mendapati beg tangan yang mengandungi dokumen-dokumen penting dan telefon bimbit diletakkan di atas kerusi hilang meskipun dia puas mencarinya.
Menurut mangsa yang berasal dari Miri, dia tidak pernah meninggalkan meja makan tersebut.
Dia yang dalam lingkungan usia 20-an percaya beg itu dicuri ketika mangsa sedang makan dan bergambar bersama rakan-rakannya.
Kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.