Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Laman sesawang Perpustakaan Awam MPS beri ruang mohon buku rujukan

$
0
0

SIBU: Pelancaran laman sesawang Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) www.smcpubliclibrary.org dengan pengenalan ruangan maklum balas memberi peluang kepada orang ramai memohon penambahan buku rujukan.

Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong berkata, orang ramai boleh menulis maklum balas mereka dan memohon kepada majlis untuk menambah buku-buku rujukan yang diperlukan.

“Pengenalan ruang maklum balas memberi peluang kepada ahli-ahli perpustakaan menulis jenis buku rujukan diperlukan dan MPS akan membeli buku rujukan yang diperlukan untuk pinjaman berdasarkan permintaan ramai,” jelasnya.

Katanya, Perpustakaan Awam MPS di Jalan Keranji bakal dilengkapi dengan kemudahan WiFi percuma dalam masa terdekat dan perabot baharu bagi mengubah wajah perpustakaan itu.

“Ini merupakan antara strategi untuk menarik perhatian ahli-ahli lama yang kurang aktif agar lebih ramai orang datang berkunjung dan menggunakan perkhidmatan di perpustakaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Semula Perpustakaan Awam MPS, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Perpustakaan Awam MPS Habsah Johor, kaunselor-kaunselor MPS dan kaunselor-kaunselor belia MPS.

Wong memberitahu, pelancaran semula Perpustakaan Awam MPS merupakan satu transformasi dalam memenuhi kehendak dan tuntutan generasi kini yang berkunjung serta menggunakan perkhidmatan di perpustakaan terbabit.

“Pelancaran semula ini bagi membawa transformasi kepada perpustakaan ini dalam memenuhi tuntutan dan keperluan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa,” ujarnya.

Menurut Wong, pelancaran semula itu juga memastikan perpustakaan yang dibina pada 1986 itu terus relevan kepada bandar Sibu.

Serentak dengan pelancaran semula itu, logo baharu Perpustakaan Awam MPS menggunakan simbol burung merpati serta berslogankan ‘Freedom To Learn’ diperkenalkan.

“Logo baharu ini amat tepat dengan visi perpustakaan dalam memberi kemudahan dan sumber untuk pembelajaran kepada semua generasi.

“Logo dan slogan juga menunjukkan kesungguhan kami menyediakan akses kepada orang ramai daripada pelbagai peringkat usia agar mereka dapat mengalami suasana pembelajaraan yang menyeronokkan,” ujarnya.

Selain itu, Perpustakaan Awam MPS juga melancarkan logo sampingan bagi bahagian kanak-kanak dalam usaha menarik generasi muda berkunjung ke perpustakaan dan membaca.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>