Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Nelayan dari Kg Muhibbah dalam dilema dikena sekatan oleh pihak maritim

$
0
0

MIRI: Sekumpulan nelayan dari Kampung Muhibbah, Kuala Baram di sini mendakwa mereka kini berada dalam keadaan serba salah dan sukar selepas pihak berkuasa berkaitan mengehadkan kegiatan mereka pergi ke laut.

Kumpulan terbabit yang bertemu dengan Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin semalam memberitahu, pihak berkuasa maritim mengenakan sekatan tersebut kerana mereka telah didapati menangkap ikan tanpa lesen yang sah.

“Kami telah didapati menangkap ikan tanpa lesen sah oleh pihak berkuasa maritim apabila mereka melakukan pemeriksaan ke atas bot kami baru-baru ini,” demikian menurut Jaya Majid, salah seorang daripada 10 nelayan tersebut yang mengadakan pertemuan dengan Lee semasa beliau mengadakan lawatan ke Kampung Muhibbah dekat sini, kelmarin.

“Bukan niat kami untuk melanggar undang-undang dan peraturan kerana ada antaranya, tersalah letak atau kehilangan kad keahlian atau lesen berkenaan.

“Kami tahu dan faham bahawa ia melanggar undang- undang (menangkap ikan tanpa lesen sah),” jelas Jaya lagi.

Menurut beliau, tindakan pihak berkuasa terbabit meletakkan mereka dalam dilema kerana menangkap ikan adalah sumber pencarian mereka dan ia boleh menjejaskan rezeki mereka.

“Bagaimana kami dapat meraih pendapatan dan menyara keluarga kami kerana ia adalah satu-satunya mata pencarian kami.

“Malah ia amat membebankan dan menambahkan kesusahan kami jika sekatan tersebut berpanjangan,” ujar Jaya.

Berikutan sekatan itu, kumpulan terbabit telah membuat laporan polis berhubung kehilangan dan mungkin tersalah letak kad keahlian mereka itu bagi mendapatkan penggantian segera daripada pihak berkuasa perikanan.

Sementara Mohd Arif, 29, yang turut ditahan empat hari lalu berharap pihak berkuasa terbabit dapat memberikan beliau dan rakan-rakan nelayan yang lain kad gantian segera, selepas laporan polis dibuat bagi membolehkan mereka dapat terus menangkap ikan.

“Untuk menyara keluarga kami terpaksa keluar untuk menangkap ikan dan jika pengeluaran kad gantian tersebut mengambil masa yang lama, maka kami tidak mempunyai cara lain tetapi terpaksa juga keluar ke laut untuk menangkap ikan walaupun tanpa lesen yang sah,” tambahnya.

Sehubungan itu menurut para nelayan terbabit, mereka bertemu dengan Lee yang juga ADUN Senadin, bagi mendapatkan bantuan daripada beliau.

Mereka meminta Lee menjadi pengantara mereka dengan kedua-dua pihak berkuasa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan bagi menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.

Mereka juga meminta pihak perikanan mengeluarkan permit menangkap ikan sementara memandangkan lesen yang dipohon masih belum dapat dikeluarkan.

Dalam pada itu, Lee dalam jawapan balasnya kepada para nelayan tersebut, memberitahu bahawa beliau akan melihat masalah tersebut dengan menulis dan bertemu dengan kedua-dua pihak berkuasa terbabit bagi mencari kemungkinan untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin kerana ia melibatkan kehidupan nelayan.

Menurut Lee, beliau difahamkan bahawa pemeriksaan tersebut adalah biasa dan rutin dilakukan ke atas bot nelayan bagi mengelakkan nelayan asing menangkap ikan di kawasan atau perairan tersebut.

“Mereka juga mahu memastikan tiada kaedah penangkapan ikan secara haram seperti pengeboman ikan, racun dan kejutan elektrik yang dilaporkan berleluasa di perairan bahagian ini. Kaedah-kaedah ini telah dilakukan oleh nelayan asing,” ujar Lee.

Kaedah-kaedah itu, katanya bukan sahaja boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan pengguna tetapi juga memusnahkan batu karang dan mengurangkan populasi ikan.

“Rondaan tersebut adalah biasa dan pemeriksaan bot-bot nelayan adalah bagi kepentingan nelayan tempatan dan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu Lee juga mengingatkan mereka untuk menjaga dokumen-dokumen penting mereka seperti kad keahlian atau lesen di tempat yang selamat dan terjamin.

Mereka perlu membawa dokumen-dokumen bersama mereka di mana sahaja mereka berada terutama di laut.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>