KUCHING: Ketua Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy Bhd (SEB) Aisah Eden merupakan rakyat kelahiran Sarawak bukannya ekspatriat seperti didakwa Pengerusi Parti Tindakan Demokratik Sarawak (DAP) Chong Chieng Jen.
SEB dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini berkata, Aisah sudah berkhidmat lebih 30 tahun dengan SEB selain menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh DAP sebagai tidak berasas.
“DAP telah melampaui batas dengan segala tuduhan yang dilemparkan.
“Mereka tidak bertanggungjawab mengenai maklumat yang disebarkan kepada orang ramai terutama tuduhan menyatakan Aisah Eden adalah ‘orang luar’ yang menentang kuat kempen tandatangan itu,” kata jurucakap SEB dalam kenyataan akhbar.
Menurut jurucakap SEB lagi, DAP tidak mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap maklumat yang disebarkan umum.
“Ini jelas dapat dilihat apabila DAP dengan jelas menyatakan Puan Aishah Eden seorang ekspatariat yang mempunyai kepentingan menentang kempen mengurangkan tarif elektrik yang dilancarkan parti pembangkang itu,” tambah kenyataan itu lagi.
Justeru kata jurucakap SEB, syarikat berkenaan berpendapat tindakan melayan tuduhan tidak berasas DAP hanya perbuatan yang membuang masa.
Kenyataan akhbar itu dikeluarkan sebagai mengulas dakwaan Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching mengatakan Aisah menggunakan taktik yang tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan pekerja SEB dan orang ramai tentang kempen parti itu.
Chong berkata matlamat utama kempen itu adalah untuk menurunkan tarif elektrik di negeri ini sebanyak 30 peratus, mengurangkan insiden bekalan elektrik terputus dengan memastikan kerja menaik taraf dan menyelenggara rangkaian pengedaran dan transmisi dibuat secara konsisten dan kerap serta berhenti mengambil kerja orang dari luar negara dan memberi gaji yang begitu tinggi kepada mereka.
“SEB cuba mengaitkan kes kecurian elektrik dengan kempen DAP.
“Ini adalah taktik paling jahat dan tidak bertanggungjawab kerana kecurian elektrik dan tarif elektrik merupakan dua isu berasingan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Chong mengakui negeri ini sekarang mungkin mengenakan tarif elektrik termurah di negara ini, tetapi beliau mendakwa rakyat Sarawak telah membayar tarif elektrik yang paling mahal di Malaysia selama hampir dua dekad.
Mengenai buku maklumat kecil yang diedarkan oleh pengurusan tertinggi SEB yang menurut Aisah bertujuan untuk membantu pekerja SEB menjawab pertanyaan daripada keluarga dan rakan-rakan, Chong percaya buku kecil tersebut mengandungi ‘banyak kebenaran separuh’ dan bertindak sebagai dokumen propaganda, bukan dokumen maklumat seperti yang didakwa.
“Buku kecil tersebut tidak mendedahkan angka perakaunan serta keuntungan tinggi SESCO dan SEB dan ia juga tidak menyebut secara khusus tentang proses perolehan serta butiran projek yang dijalankan oleh SEB.
“Ia hanya mengandungi beberapa dakwaan samar-samar dan ugutan seperti ‘ramai yang akan kehilangan pekerjaan jika tarif dikurangkan’, sesuatu yang tidak benar,” katanya.
Beliau juga bertanya kenapa SEB takut untuk menunjukkan angka perakaunan sepenuhnya kepada 4,000 pekerjanya kerana menurutnya, ia adalah hak mereka untuk tahu tentang keuntungan dan pengendalian syarikat.