Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Pemaju projek kereta kabel wajib buat kajian EIA: Len

$
0
0

KUCHING: Pemaju projek kereta kabel yang menghubungkan Gunung Santubong dari Santubong Resort dan Pasir Pandak wajib menjalankan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan.

Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, meskipun pelan dan proposal bagi projek tersebut telah diluluskan seperti yang didedahkan oleh sumber dalaman syarikat berkenaan, namun projek tidak boleh dilaksanakan sehingga laporan EIA diluluskan.

“Kajian EIA wajib dilakukan dan pemaju perlu mematuhi semua terma dan syarat-syarat projek agar ia tidak memberi impak negatif kepada alam sekitar serta penduduk yang mendiami sekitar kawasan yang terlibat dengan projek berkenaan.

“Kajian ini mungkin tidak banyak menyentuh mengenai kereta kabel itu sendiri tetapi lebih kepada tapak projek yang akan dibangunkan bagi tujuan tersebut.

“Setakat ini, saya belum melihat atau dimaklumkan sama ada kajian EIA oleh pemaju berkenaan telah dibuat atau tidak tetapi saya ingin menegaskan bahawa mereka perlu melakukannya segera,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Limkokwing Institute of Creative Technology dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Conqueror’s Vision Sdn Bhd (CVSB) di Limkokwing Institute di sini, semalam.

Tambah Len, sebagai menteri muda beliau berpendapat sebarang projek yang memanfaatkan rakyat harus mendapat sokongan, tetapi tidak bermaksud pemaju boleh mengetepikan laporan kajian EIA.

“Sebagai individu yang bertanggungjawab, kita harus mematuhi terma dan syarat-syarat projek.

“Kereta kabel bukan sesuatu yang baharu kita tidak mencipta kereta kabel sebaliknya ia telah tercipa 200 atau 300 tahun dahulu lagi.

“Apa yang perlu kita buat sekarang adalah menyesuaikannya dengan keadaan serta penduduk tempatan di sini.

“Anda boleh melihat kereta kabel di merata tempat di Pulau Pinang, Kanada, Eropah dan di mana-mana. Ia bukan sesuatu yang baharu tetapi EIA perlu dijalankan,” tambah Len.

Jelas Len lagi, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar di bawah Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar bertanggungjawab untuk memastikan kajian EIA bagi projek ini dilaksanakan.

Susulan itu, Len menjelaskan beliau perlu mendapatkan kepastian daripada NREB terlebih dahulu sama ada laporan kajian EIA berkenaan telah dibuat atau belum sebelum mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci mengenai projek itu.

Dalam pada itu, projek pembinaan kereta kabel itu dianggarkan menelan kos RM50 juta dan dijangka mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan sebaik pelancarannya nanti.

Projek itu disambut baik oleh kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan yang disifatkan mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri ini, khasnya Kuching.

Bagaimanapun, para pencinta alam sekitar telah mengambil inisiatif mengadakan kempen bagi menghentikan projek berkenaan yang didakwa akan menjejaskan flora dan fauna di sekitar gunung legenda itu.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>